PAS Boleh Dianggap Oportunis, Tiada Prinsip, Tak Boleh Dipercayai - Mahfuz


ALOR SETAR - Kenyataan beberapa pemimpin tertinggi Pas kebelakangan ini semakin mengelirukan, dakwa Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

“Saya merujuk kenyataan terbaharu Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang disokong Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed bahawa Pas bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk BN bagi membentuk kerajaan campuran selepas PRU14, ini kenyataan mengelirukan,” katanya.

Menurutnya, dalam kenyataan Mahfodz kepada sebuah portal menyebut, Pas kini bersendirian dan bersama Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, dan jika keputusan pilihan raya umum gabungan itu menguntungkan Pas, kemungkinan boleh membentuk kerajaan dengan parti lain termasuk BN.

“Kenyataan ini merupakan lanjutan daripada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Disember 2015 di Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu yang membawa maksud sama dengan kenyataan Mohd Zuhdi, ini menimbulkan persoalan besar rakyat yang semakin hari semakin keliru ke arah mana sebenarnya haluan Pas,” katanya.

Mahfuz berkata, rakyat kini mengharapkan perubahan kerajaan selain wujud pertentangan politik yang ketara antara BN - Pakatan Harapan-PPBM.

“Tindakan Pas menyebabkan parti itu dianggap sebagai oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai. Ini akan menyebabkan ahli dan rakyat menjauhkan diri,” katanya.

Menurutnya, tidak mustahil BN mahu pun blok pembangkang bersama PPBM sedang memperhalusi strategi Pas, dan pastinya tidak naif merelakan diri mereka berada di posisi lemah untuk bergantung kepada Pas dalam membentuk kerajaan.

“Budaya politik ‘tak tentu hala’ Pas itu sudah pasti dijadikan panduan kedua-dua blok politik untuk menentukan sikap mereka terhadap Pas,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang tegaskan Pas akan menentang BN pada PRU14, sebaliknya kenyataan beberapa pimpinan tidak menafikan strategi ‘makan keliling’ termasuk membentuk kerajaan campuran dengan BN.

“Saya yakin majoriti ahli dan penyokong Pas tidak menyenangi pendirian terbaharu Pas ini termasuk kenyataan Mohd Zuhdi dan Mahfodz yang jelas menyanggah kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad bahawa Pas akan bertanding PRU14 sebagai pembangkang dan tidak akan membentuk kerajaan dengan BN,” katanya.

Menurutnya, jika Pas bersedia membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan dan PPBM, kenapa pada masa sama pemimpin Pas berulang kali menyatakan Pas tidak sanggup bekerjasama dengan PAN dan DAP, termasuk parti lain yang bersekongkol dengan mereka.

Mahfuz berkata, budaya politik ‘tak tentu hala’ dan strategi politik ‘makan keliling’ ini, apabila dihebahkan secara terbuka adalah satu langkah politik amatur, yang menghakis keyakinan rakyat.

Sumber: Sinar Harian