PAS Kesal PAN Politikkan Isu Rohingya


KUALA LUMPUR – PAS menyelar Parti Amanah Negara (PAN) kerana memperlekehkan usaha parti itu untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah kekejaman ke atas umat Islam Rohingya.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, PAN tidak sepatutnya mempolitikkan isu tersebut untuk kepentingan Pakatan Harapan kerana pembelaan nasib umat Islam Rohingya adalah tanggungjawab semua bukan.

“Ia tidak sepatutnya dijadikan satu isu politik untuk mempertikailan pihak lain dan mengangkat pihak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

PAN semalam memperlekehkan langkah PAS mahu mengadakan kerjasama dengan UMNO bagi mengadakan perhimpunan secara besar-besaran membantah kekejaman ke atas umat Islam Rohingya.

PAN sebelum ini dipetik mendakwa kononnya perhimpunan itu sesuatu yang membingungkan kerana UMNO sebagai parti pemerintah tidak sepatutnya mengadakan demonstrasi.

“Boleh dilihat hampir setiap kali Parlimen bersidang sejak 2013, Presiden PAS akan bertanya tentang pembelaan terhadap nasib umat Islam Rohingya.

“Malang sekali ada parti yang baru sekali bawa usul tentang Rohingya terus mendabik dada mereka juara dan mempertikaikan pihak lain yang mahu bersolidariti untuk membela saudara-saudara kita di Arakan,” katanya lagi.

PAS sebelum ini enggan menyertai perhimpunan Bersih 5 anjuran kumpulan anti kerajaan dan Pakatan Harapan sebaliknya mahu mengadakan perhimpunan membantah kekejaman ke atas umat Islam Rohingya. -Kedahnews.com