PAS Perlu Henti Bermimpi Atau Bertemu Igauan Buruk - PAN


KOTA BHARU - PAS perlu berhenti bermimpi dan sedar sokongan rakyat terhadap parti itu semakin terhakis.

Naib Pengerusi PAN negeri Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, sokongan yang semakin pudar itu berpunca dari keegoan dan kedegilan mereka.

Menurutnya, keengganan PAS untuk menerima hakikat tersebut akan membawa padah yang lebih buruk pada masa akan datang khususnya untuk berdepan PRU14.

“PAS perlu berhenti bermimpi di siang hari kerana igauan buruk akan menggantikan mimpi tersebut, perkembangan semasa menyebabkan parti itu selamanya tidak boleh mendakwa Kelantan dan Terengganu sebagai kubu mereka.

“Apabila PAS pecah dan lahirnya parti PAN dan dalam masa yang sama UMNO juga berpecah dengan lahirnya PPBM yang kesemuanya bakal berkabung dalam satu pakatan pembangkang atas nama Pakatan Harapan, maka PAS akan menjadi satu parti yang terpinggir kecuali mereka bersama BN atau kembali ke pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang menyuruh parti PAN mengukur baju di badan sendiri dan jangan bermimpi untuk menawan Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat pada PRU14.

Tambahnya, rakyat dan pengundi masih belum  menerima wujudnya blok ketiga yang tidak jelas pendiriannya sama ada bersifat pembangkang atau penasihat kepada parti pemerintah.

Beliau berkata, PAS tidak boleh memperdagangkan kerusinya dengan hanya akan menyatakan sokongan sama ada kepada Pakatan Harapan atau BN hanya apabila dilihat ada keuntungan kepada PAS.

“PAS sebenarnya mengakui hakikat mereka tidak boleh bersendirian dalam berhadapan arus politik hari ini, sebab itu mereka cuba menonjolkan diri untuk menjuarai pembentukan blok ketiga atas nama Gagasan Sejahtera.

“Apabila mereka berjaya mengajak parti kecil seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), mereka sedang mengelirukan rakyat bahawa Gagasan ini akan diperbesarkan dengan penyertaan PPBM dan PKR bersama mereka,” katanya.

Namun beliau yakin pemimpin-pemimpin parti tersebut (PPBM dan PKR) matang serta amat memahami kehendak rakyat bahawa pembangkang tidak boleh berpecah jika benar mereka berhasrat menggantikan BN menguasai tampuk pemerintahan negara.

Sumber: Sinar Harian