KUALA LUMPUR – Kedua-dua naib presiden UMNO sepakat dan berikrar untuk bersama presiden menghadapi pelbagai kritikan dan fitnah terhadap parti dengan penuh ketenangan dan kematangan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata mereka akan memastikan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berseorangan dalam menghadapi serangan terhadapnya dan parti.
Kedua-dua pemimpin tersebut menegaskan walaupun pendekatan mungkin berbeza dengan Najib dalam menangani cabaran berkenaan, perjuangan mereka adalah sama demi kelangsungan parti keramat Melayu itu.
Bagi Ahmad Zahid, setiap pemimpin berdepan cabaran berbeza yang memerlukan pendekatan yang sesuai dalam menghadapinya.
“Saya tetap berprinsip sama (dengan Najib) tapi pendekatannya berbeza. Presiden cukup sabar dan baik hati. Kalau ada kekasaran, beliau tidak akan balas dengan kasar.
“Walaupun kami bertiga datang daripada gelanggang Pemuda, kami tidak sama,” katanya dalam sidang media bersama Hishammuddin selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 oleh Najib semalam.
Hishammuddin pula menegaskan kesabaran mempunyai kekuatan tersendiri malah UMNO selama ini menggunakan prinsip ‘sabar namun tegas’ dalam setiap ujian yang melanda parti.
“Dengan cara ini, presiden lebih mudah menepis tuduhan terhadapnya dan parti terutamanya daripada mereka yang sebelum ini telah memimpin dan mengajar kita untuk bawa prinsip sama,” katanya. – BERNAMA