#PAU2016 Zahirkan Sokongan Terhadap Nasib Rohingya


ETNIK minoriti Rohingya mengalami penderitaan dan kekejaman dengan wanita dirogol, kanak-kanak dan lelaki disembelih, serta rumah dan masjid mereka turut dibakar.

Ribuan melarikan diri ke sempadan serta mendapatkan perlindungan daripada negara jiran, dengan sebahagian daripada mereka meninggal dalam perjalanan kerana kecederaan dan kelaparan.


Pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia menunjukkan sokongan dan bantahan ke atas kekejaman tentera pihak berkuasa Myanmar.

Malah Perhimpunan Agung UMNO 2016 tidak ketinggalan mengetengahkan kekejaman dialami etnik Rohingya dalam Pameran Kartun dan Komik Wasatiyyah dan Perjuangan dianjurkan Institut Wasatiyah Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Pameran yang diadakan dari 29 November hingga esok itu turut menarik perhatian orang awam yang lalu-lalang untuk tidak ketinggalan menyatakan sokongan terhadap nasib yang dialami oleh bangsa Rohingya.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2016 menyifatkan kekejaman dilakukan kerajaan Myanmar sebagai tidak perikemanusiaan serta menggesa ASEAN mengkaji semula keahlian Myanmar dalam badan itu.


“Pemuda UMNO juga mendesak anggota Asean agar keahlian Myanmar dikaji semula. Prinsip tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai apabila berlakunya pemusnahan etnik besar-besaran dalam sebuah negara ahli ASEAN,” katanya. – Kedahnews.com