Peguam Mahathir Hebat, Tapi Sombong Dan Angkuh - Nur Jazlan


PETALING JAYA - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed membidas peguam terkemuka Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan menganggap kenyataan beliau sebagai sombong.

“Saya tahu beliau (Haniff) peguam yang mempunyai reputasi hebat, tetapi sebagai akauntan profesional, saya mendapati kenyataan beliau angkuh dan sombong. Sikap yang biasa di kalangan pengamal undang-undang negara ini,” katanya.

Nur Jazlan berkata demikian susulan kenyataan Haniff menyuruhnya berhenti mengelirukan orang ramai dengan menganggap tindakan menyatakan perbezaan pendapat terhadap kerajaan adalah jenayah.

Peguam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata jika Nur Jazlan tidak biasa dengan undang-undang, beliau perlu mendapatkan pandangan daripada pegawai dan bukannya membuat kenyataan menakut-nakutkan orang ramai.

Nur Jazlan berkata: “Beliau (Haniff) berhak terhadap pendapatnya, tetapi tidak sepatutnya beliau mengadili mengikut pertimbangan peribadinya terhadap saya.”

“Jangan anggap saya tidak meminta nasihat daripada pegawai kementerian saya.”

Sambil berkata “definisi undang-undang” adalah tafsiran tujuan dan makna peraturan, Nur Jazlan berkata:

“Tafsiran saya berbeza dengan beliau. Akhirnya, apabila perkara undang-undang di bawa ke mahkamah, hakim perlu membuat keputusan, bukan hanya kami berdua.”

Dalam laporan berita kelmarin, Nur Jazlan dipetik sebagai berkata berkata, “siapa kata kita tidak menyiasat Dr Mahathir di bawah Seksyen 124 (c)? Sama ada kita mahu atau tidak membawa perkara ini ke peringkat seterusnya adalah perkara berbeza.”

Kenyataan itu menyusuli siasatan terhadap beberapa individu dan organisasi seperti Lawyers for Liberty, Majlis Peguam, Bersih 2.0 dan Malaysiakini di bawah Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan kerana didakwa cuba menjejaskan demokrasi berparlimen.

Pihak berkuasa membuka siasatan selepas laman web Amerika Syarikat, DC Leaks, membocorkan dokumen yang menggariskan rancangan oleh kumpulan asing untuk masuk campur politik Malaysia melalui program yang dikenali sebagai “Program Malaysia”.

Dokumen itu mendedahkan OSF menjalankan operasi itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 2010, yang pada awalnya dijangkakan diadakan pada 2011, 2 tahun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan tertinggi negara.

Selama ini, Soros dikaitkan dengan aktiviti pro-demokrasi di Eropah Timur dan juga dituduh terlibat dalam manipulasi mata wang.

Nama Soros menjadi sebutan ramai di Malaysia pada lewat 1990-an apabila Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu, menuduhnya punca berlakunya krisis kewangan Asia 1997.

Sumber: FMT