Keadaan van pekerja yang terbabas ketika melalui Jalan Relau dipercayai disebabkan hilang kawalan sehingga mencederakan tiga penumpang. |
BANDAR BAHARU - Tiga pekerja kilang berusia antara 30 hingga 40 tahun cedera apabila van kerja yang dinaiki mereka terhumban ke dalam parit pagi semalam.
Kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan menghantar pekerja ke kilang di Kulim Hi-Tech kira-kira jam 6.30 pagi sebelum terbabas dan melanggar paip air milik Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebelum terjatuh ke dalam parit ketika melalui Jalan Relau.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, ketika itu dia sedang bersiap untuk menunaikan solat subuh dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari arah jalan.
"Seperti biasa saya bangun nak solat Subuh, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan yang berjarak kira-kira 500 meter dari rumah," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan kejadian dan berkata tiga mangsa yang mengalami cedera ringan telah dirawat di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang sebagai pesakit luar.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 43 (1) APJ 1987. Siasatan masih diteruskan. Sehingga kini tiada laporan dibuat oleh pemandu van," katanya.
Sumber: Sinar Harian