Pemuda PAS Dakwa UMNO Kedah Terjejas Kerana PPBM


ALOR SETAR - Pemuda PAS Kedah mendakwa UMNO Kedah kelihatan seperti cuba menyembunyikan perpecahan besar yang berlaku di dalam parti berkenaan dengan menghalakan "serangan" kepada pihak pembangkang.

Ketua Penerangannya, Nurul Amin Hamid berkata, ketakutan UMNO Kedah terhadap penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dapat dilihat apabila parti berkenaan mengeluarkan kenyataan serangan terhadap kepimpinan PPBM.

“Ini terbukti semasa Perhimpunan Agung Umno 2016 yang disifatkan paling getir bagi UMNO untuk menghadapi PRU14.

“Kecaman demi kecaman yang dilemparkan oleh pemimpin UMNO terhadap pemimpin serpihan parti itu yang jelas ketakutan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, Nurul Amin mendakwa UMNO Kedah kelihatan sangat terjejas untuk meneruskan kuasa pemerintahan mereka dengan wujudnya PPBM.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah itu turut mengatakan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang menekan, memeras, zalim terhadap rakyat dan tidak memerintah mengikut garis panduan yang ditetapkan Allah dan Rasulullah SAW.

“UMNO tidak boleh menafikan dan merendahkan rakyat bahawa rakyat pada masa kini amat celik dalam menentukan kerajaan terbaik untuk mengemudi Malaysia.

“Kesilapan besar adalah memilih parti yang menekan, memeras, menzalimi rakyat, memilih pemerintah yang tidak mengikut acuan ALLAH dan Rasul,” katanya lagi.

Jelasnya, selagi mana manusia tidak tunduk sepenuhnya kepada kehendak ALLAH, selagi itu manusia berada dalam kesilapan besar dalam hidup mereka. - Kedahnews.com