Penakut Sangatkah Kita Umat Islam Di Zaman Sekarang?


BELEK sahaja akhbar, pasti ada berita umat Islam serata dunia ditindas. Kemudian dibuka pula ­televisyen pasti ada berita umat Islam disembelih, apa yang memilukan dalam kebanyakan kes, umat yang berkongsi ‘datuk’ sama ini dibunuh oleh saudara seagama sendiri selain daripada pihak musuh.

Selepas itu, skrol pula Facebook pasti ditemukan pelbagai status umat Islam memaki hamun sesama sendiri, tidak cukup dengan itu para asatizah pula amat seronok melabel kumpulan lain yang tidak sehaluan sebagai sesat hingga sampai kepada tahap mempertikaikan akidah pegangan ‘lawan’ mereka, seolah-olah kunci syurga berada dalam tangan mereka.

Tidak cukup dengan itu segelintir anggota parti politik yang sebelum ini tumpang berteduh di bawah bumbung sama, berpaksikan hala tuju selari untuk me­numbangkan musuh politik sama turut galak menghina sesama sendiri - ‘syok sendiri’ seolah-olah rakyat yang mempunyai kuasa undi langsung tidak pandai menilai perangai buruk mereka.

Diselongkar lagi Facebook, pasti ditemukan para suami, ayah dengan bangga mempamerkan aurat isteri, anak-anak perempuan untuk tatapan umum. Ada juga yang konon menutup aurat tetapi hakikatnya membalut aurat. Pakai tudung tetapi lengan dan kaki dibiarkan terbuka, pakai baju labuh tetapi ketat hingga menampakkan segala lurah yang sepatutnya hanya eksklusif untuk suaminya sahaja.

Kenapa semua ini berlaku? Jawapan paling tepat ialah umat Islam atau Melayu-Islam sebenarnya dayus! Ramai akan melenting apabila penulis lemparkan perkataan negatif ini. Usah bimbang, panas hanya sekejap sahaja kerana benda lagho (perbuatan tidak bermanfaat) bakal mengatasi segalanya.

Tuduhan ini bukan sahaja amat dibenci, malah begitu ditakuti, meskipun ia betul. Dalam Islam, dayus merujuk kepada suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri, anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja mereka dipegang serta dipeluk oleh lelaki lain.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka turut mendefi­nisikan dayus sebagai pengecut dan penakut, ia boleh dinisbahkan kepada majoriti umat Islam pada masa kini.


Jom kita perincikan sedikit natijah daripada dayus ini. Statistik direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara dari 2010 hingga tahun lalu mencatatkan seramai 323,047 anak tidak sah taraf. Daripada jumlah tersebut, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi 2012 hingga 2015 pula adalah seramai 16,270 orang.

Rasulullah SAW pernah bersabda, mafhumnya:
“Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si ­dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya,” - Riwayat Ahmad.
Mengenai penindasan bertali-arus terhadap umat Islam, ia berlaku kerana umat Islam lemah dan penakut meskipun mempunyai keahlian anutan agama antara teramai.

Dayusnya umat Islam kerana tidak mempedulikan nasib saudara seagama akibat terlalu sibuk dengan pelbagai jenis hiburan, yang muda yang tua tidak ter­kecuali, saat umat Islam disembelih, kita masih lagi asyik ketawa terguling-guling melayan rancangan lawak jenaka, terkinja-kinja melayan artis menyanyi.

Sifat kasih sayang sesama Muslim telah hilang, hasilnya kita tidak lagi peduli atas apa yang menimpa saudara seagama lain. Namun perlu diingatkan, kita masih menjadi juara dalam acara perhimpunan menyuarakan rasa tidak puas hati, musuh-musuh pula tergelak-gelak kerana terlalu arif dengan perangai kita yang hanya panas sekejap sahaja.

Ingatkah lagi isu perebutan kalimah Allah sebelum ini, amat bagus apabila Melayu-Islam begitu bersungguh-sungguh mempertahankan nama-Nya, tetapi malangnya pada masa sama dengan sewenang-wenangnya pula mengingkari larangan-Nya.

Melayu-Islam secara konsisten menguasai carta juara statistik rasuah, budaya hedonisme, zina, pembuangan anak, budaya tahyul, khurafat, tidak menutup aurat, tidak mendirikan solat dan menunaikan zakat serta meminum arak tanpa segan silu.

Pasti akan wujud kelompok mempertikaikan definisi dayus penulis, terpulanglah. Penulis cuma ingin memikirkan sesuatu yang di luar kotak, itulah maksud dimensi.

Sumber: Utusan