Pengantin Baru Nyaris Maut Kereta Terbabas Di Sg. Petani


SUNGAI PETANI – Seorang pengantin perempuan dan dua rakannya nyaris maut apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terjatuh ke tepi tebing di satu selekoh di Jalan Pinang Tunggal dekat sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, pengantin perempuan dikenali sebagai Siti Kholijah Hashim, 26, bersama dua rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang dari sebuah butik pengantin menuju ke rumah pengantin perempuan.

Kereta jenis Perodua Bezza dipandu rakannya yang berusia 24 tahun dan turut dinaiki seorang lagi rakan berusia 23 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di sebelah tebing sebelum melanggar papan tanda jalan dan pokok di kawasan itu.

“Bagaimanapun pengantin perempuan hanya mengalami lebam pada pipi manakala pemandu kereta mengalami cedera ringan di bahagian kepala akibat terhantuk, seorang lagi mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Md Zukir berkata, kesemua mangsa bagaimanapun dihantar menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Difahamkan, pengantin perempuan yang juga jururawat Hospital Pulau Pinang (HPP) dikatakan dalam perjalanan pulang dari sebuah butik pengantin di Taman Kempas ke rumahnya sebelum ke majlis persandingan di Kampung Pantai Prai, Sidam Kiri dekat sini.

Sementara itu saksi kejadian, Razif Saad, 32, berkata ketika kejadian beliau sedang dalam perjalanan dari Taman Kempas dekat sini menuju ke Pantai Prai, Padang Serai sebelum ternampak kereta dinaiki mangsa kelihatan membelok ke Simpang Pantai Prai sebelum terlajak dan terbabas ke tepi jalan berkenaan.

“Orang kampung kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa-mangsa kerana kenderaan mangsa terbabas hampir 100 meter dari tepi jalan utama, dan mengalami kerosakan teruk,” katanya. – BERNAMA