Peniaga Di Baling Dakwa Pendapatan RM3k Jadi RM1k Kerana Minyak Masak

Fazrina menunjukkan minyak masak 1 kilogram dalam paket digunakannya.
BALING - Peniaga kecil dalam daerah ini mendakwa terpaksa menggunakan minyak paket kurang berkualiti bagi meneruskan perniagaan berikutan terbeban dengan kenaikan harga minyak masak dan kos sara hidup.

Peniaga, Fazrina Md Daud berkata, perniagaan menjual muruku diusahakannya bersama keluarga, tidak lagi mampu bergantung kepada minyak masak dijual lebih daripada kuantiti satu kilogram.

“Sebelum ini guna minyak masak lima kilogram dijual dalam botol, tetapi selepas kerajaan naikkan harga minyak, kami terpaksa tukar kepada minyak paket berharga RM2.50,” katanya, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kata Fazrina, minyak dijual dalam paket kurang berkualiti jika dibandingkan dengan minyak botol.

“Perbezaan memang sangat ketara. Jika guna minyak dalam botol, rasa muruku lebih sedap dan rangup. Jika guna minyak paket, rasanya sedikit pahit, warna muruku juga sedikit hitam,” katanya.

Tambah Fazrina, kenaikan harga minyak masak juga menyebabkan pendapatannya semakin terjejas.

“Memang sangat sedih nak berniaga sekarang. Jika ikutkan, perniagaan saya sudah tidak mampu diteruskan, tetapi terpaksa juga berniaga untuk membantu suami sara keluarga.

“Sebelum ada caj GST, pendapatan bersih kami peroleh ialah RM3,000 sebulan, tetapi bila ada GST, pendapatan bulanan hanya RM1,000. Bayangkan cabaran peniaga bila harga minyak pula naik?” katanya.

Bagi seorang lagi peniaga dari Pekan Baru, Zaini Hashim yang turut menjalankan perniagaan muruku, penggunaan minyak masak paket satu kilogram menyebabkan makanan dijual tidak tahan lama.

“Muruku dijual cepat rosak, baunya juga adakala hapak. Jika sebelum ini makanan boleh tahan tiga bulan, tetapi kini dalam tempoh sebulan sahaja makanan sudah tidak boleh digunakan.

“Jika guna minyak dijual dengan pendapatan kecil memang saya tidak mampu sebab tidak berbaloi dengan keuntungan, jadi terpaksa juga guna minyak murah,” katanya.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Rohaizat Mansor, 43, dari Kampung Charok Gorok berkata, minyak masak paket menjadi pilihan untuk kegunaan perniagaan, walaupun kualiti tidak sama dengan minyak dalam botol.

“Saya harap kerajaan turunkan harga minyak bagi yang bukan 1 kilogram agar peniaga kecil seperti kami boleh meneruskan perniagaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian