PETALING JAYA - Penulis lirik terkenal Habsah Hassan berpendapat lagu yang dihasilkan pada hari ini tidak mempunyai kekuatan lirik yang dapat meninggalkan kesan kepada pendengar.
Hasil penelitiannya, Habsah, 61, berkata, kebanyakan karya terlalu berpegang kepada sesuatu trend tertentu yang pada pengamatannya tidak akan mampu membuatkan sesebuah lagu itu bertahan lama.
"Pada saya tidak salah mengikut trend atau tampil dengan lirik yang ringkas tetapi ia perlu ada jiwa untuk 'mengikat' hati pendengar.
"Itu kekurangan yang saya lihat walaupun mempunyai kekuatan melodi tetapi ia tidak saling melengkapi.
"Lagu-lagu sebegini pada saya tidak akan bertahan lama dan hanya diingati oleh pendengar untuk satu tempoh sahaja," katanya.
Habsah mengulas mengenai lambakan lagu-lagu di pasaran yang ada di antaranya dihasilkan secara tangkap muat dan tidak berkualiti.
Dalam pada itu, Habsah berkata, penulis lirik pada hari ini sepatutnya tidak boleh bersikap syok sendiri dalam berkarya sebaliknya perlu kembali kepada asas penulisan dalam menghasilkan karya hebat.
Jelas Habsah, sesebuah karya seni itu sepatutnya dihasilkan menerusi hati dan bukannya sekadar kata-kata.
"Saya suka memberikan Allahyaraham Tan Sri P.Ramlee sebagai contoh kerana banyak juga lagu-lagunya yang menggunakan bahasa pasar dan ringkas tetapi orang masih ingat sehingga ke hari ini.
"Kerana apa? Kerana ia mempunyai maksud yang cukup mendalam dan jiwa disebalik gaya bersahaja yang ditonjolkan dalam liriknya.
"Tetapi lirik hari ini mereka kekurangan daripada aspek 'rasa' dan 'jiwa' itu dan agar sukar karya itu untuk kekal sebagai malar segar kerana pada satu tahap pendengar akan lupa," katanya.
Sumber: mStar