Seorang penunjuk perasaan dilaporkan telah terbakar secara tidak sengaja ketika terlibat dalam satu tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh golongan pendidik di Punjab.
Lelaki itu yang juga seorang guru, Sukhminder Singh Mann mengalami lecur selepas minyak tanah yang dicurahkan ke atas patung ketika berdemonstrasi di tengah jalan, telah terbakar dan menyambarnya.
Ia memaksa polis untuk bertindak segera dengan menyelimuti lelaki tersebut menggunakan selimut basah sebelum dia dikejarkan ke hospital. Keadaannya dilaporkan stabil. Dia mengalami lecur di 30 peratus di bahagian badan.
Kecederaannya itu mungkin menjadi lebih parah sekiranya polis tidak bersedia dari awal selepas penunjuk perasaan sebelum ini mengancam untuk membakar diri dalam protes yang telah berlarutan selama sebulan itu.
Bagaimanapun terdapat dakwaan bahawa Sukhminder sendiri yang melompat di tengah patung yang terbakar itu.
Protes berkenaan disertai 7,800 anggota kesatuan perguruan yang melancarkan bantahan susulan dakwaan kerajaan tidak menepati janji untuk menyediakan kontrak pendidikan yang lebih baik. –Kedahnews.com