Penyokong Pakatan Harapan Sudah "Dimindsetkan" - PAS


KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikecam oleh penyokong Pakatan Harapan kerana duduk sepentas bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam Himpunan Solidariti untuk etnik muslim Rohingya.

Tetapi pemimpin Pakatan Harapan duduk sepentas dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah digelar sebagai Maha Firaun dan diktator dalam perhimpunan DAP baru-baru ini pula dipuji dan dipuja.

Pegawai Pusat Penyelidikan PAS, Syed Ahmad Fadhli berkata, sikap itu jelas mencerminkan sikap pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan yang akan mempolitikkan apa jua perkara untuk kepentingan politik mereka.

“Maka dikeluarkanlah dalil oleh juak mereka (Pakatan Harapan) bahawa adalah haram bersama pemimpin zalim, diungkit semula kisah Amanat Haji Hadi dan segala macam modal kitar semula.

“Pada masa yang sama, di Konvensyen DAP para pemimpin Pakatan Harapan bersuka ria berada sepentas dengan Mahathir yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun. Lawak bukan?” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Syed Ahmad berkata, seandainya yang berada di atas pentas bersama Najib dalam Himpunan Solidariti untuk etnik muslim Rohingya tempoh hari adalah Mohamad Sabu, Lim Kit Siang atau Wan Azizah Wan Ismail pasti mereka mendabik dada kononnya ia politik jiwa besar.


Beliau menjelaskan, umat Islam Malaysia berhimpun dalam perhimpunan itu atas nama kemanusiaan dan persaudaraan Islam kerana kerana kezaliman dihadapi etnik Rohingya menebusi sempadan politik dan agama.

“Kita wajib bersatu dalam isu sebegini, kita boleh berbalah tetapi dengan beradab dan berakhlak. Kita perlu mewujudkan umat yang bersatu. Politik jenis apa sehingga tak boleh langsung duduk semeja antara pemimpin kerajaan dan pembangkang.

“Mungkin dalam benak pemikiran penyokong Pakatan Harapan sudah ‘dimindsetkan’ bahawa apa jua yang PAS buat salah perlu diserang, manakala apa yang pemimpin mereka buat semuanya benar dan perlu dipertahan,” katanya. – Kedahnews.com