Peralatan Memanah Zaman Empayar Kegemilangan Islam

LUKISAN miniatur zaman Ilkhanid menunjukkan seorang pemanah melepaskan anak panah sambil menunggang kuda.
MEMANAH bukan sahaja aktiviti yang memerlukan kemahiran tetapi juga kekuatan fizikal. Secara amnya, sukan tersebut nampak mudah dengan peralatan yang ringkas, namun pada hakikatnya memanah lebih daripada itu.

Dalam Islam, memanah merupakan antara alat mempertahan diri yang digunakan dalam peperangan seperti disebutkan dalam sirah Nabi Muhammad SAW. Pasukan memanah merupakan pasukan khas yang selalunya berada di tempat tinggi dan strategik dalam sesebuah medan pertempuran.

Selain berburu dan berperang, memanah juga merupakan aktiviti yang berkait rapat dengan pertandingan atau pertunjukan. Memanah memerlukan dua jenis komponen utama iaitu busur dan anak panah.

Daripada lukisan miniatur yang dihasilkan oleh empayar Islam lain seperti Empayar Safavid atau Qajar di Parsi; Empayar Timurid di Asia Tengah dan Empayar Ilkhanid memperlihat peralatan memanah digunakan kerajaan tersebut.

Antara artifak berkaitan dengan aktiviti memanah yang disimpan dan dipamerkan sama ada di muzium, galeri kesenian Islam atau senjata dunia Islam ialah busur, anak panah, kotak simpanan anak panah dan cincin pemanah. 

Keempat-empat artifak ini memperlihat satu kebergantungan yang saling memerlukan satu dengan lain bagi memastikan aktiviti memanah tidak terjejas mahupun mendatangkan kecederaan kepada pemanah.

Kotak pemanah memastikan bahawa bekalan anak panah tidak tercicir dan sentiasa dalam satu susunan. Ia bertujuan memudahkan pemanah mengambil senjata itu terutama bagi pemanah yang menunggang kuda dalam pertempuran.

Cincin pemanah pula berfungsi melindungi jari yang menjadi landasan sewaktu anak panah dilepaskan. Elemen ini menggunakan pelbagai jenis bahan seperti kulit haiwan, batu jed, gading dan kayu. 

Cincin pemanah dikenali sebagai zihgir dalam empayar Uthmaniyah yang bermaksud cincin ibu jari. Sesiapa yang memakai cincin pemanah dalam era pemerintahan Uthmaniyah dikenali sebagai pahlawan.

Anak panah yang digunakan pula mempunyai dua jenis mata. Pertama ia merupakan mata runcing yang ditajamkan dari kayu atau buluh sama. Manakala yang kedua pula menggunakan mata yang pipih, berbentuk segi tiga dan tajam di kedua belah tepi serta runcing di bahagian hadapan.

Kepala anak panah sebegini selalunya diperbuat daripada logam atau tulang yang disambungkan kepada buluh atau kayu. Sewaktu empayar Mughal, bulu burung yang diletakkan di bahagian belakang anak panah selalunya berwarna hitam atau putih atau dikenali dengan nama ablaq.

Busur merupakan struktur penting bagi melancarkan anak panah. Terdapat pelbagai jenis busur yang dihasilkan mengikut kegunaan dan teknik digunakan oleh pemanah. 

Busur yang sering digunakan oleh pemanah mempunyai bentuk melengkung ke dalam, di mana kedua-dua hujung busurnya diikat atau secara amnya berbentuk seperti “C” apabila talinya ditarik ke belakang bagi melancarkan anak panah.

Dalam sejarah Islam, Empayar Uthmaniyah dikatakan mempunyai sebanyak 120 teknik cara ikatan tali busar. 

Empayar Uthmaniyah dikatakan mempunyai satu teknik memanah yang sangat bagus namun malangnya ia telah semakin hilang ditelan zaman selepas pemerintahan Sultan Mahmud II pada awal abad ke-19 Masihi.

Busur - Struktur penting bagi melancarkan anak panah. Busur sering digunakan pemanah adalah berbentuk melengkung ke dalam seperti bentuk “C” apabila talinya ditarik ke belakang bagi melancarkan anak panah.

Kotak pemanah - memastikan bahawa bekalan anak panah tidak tercicir dan sentiasa dalam satu susunan.

Cincin pemanah - Melindungi jari sewaktu anak panah dilepaskan. Sesiapa yang memakai cincin pemanah dalam era pemerintahan Uthmaniyah dikenali sebagai pahlawan.

Anak panah - Mempunyai dua jenis mata.

Sumber: Utusan