YAN – Persefahaman antara UMNO dan PAS dalam menyatakan solidariti terhadap nasib etnik Rohingnya dicapai atas dasar kemanusiaan dan bukannya atas kepentingan politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Oleh itu, beliau menegaskan perkara itu tidak wajar dipolitikkan atau dicemburui.
“Pertemuan antara pucuk pimpinan kedua-dua parti, UMNO dan PAS baru-baru ini, memberi signal atau jawapan kepada rakyat, terutamanya penyokong parti untuk melihat bahawa isu itu bukan lagi berhubung kait soal parti tetapi merentas sempadan, soal kemanusiaan.
“Sebab itu jika ada rasa cemburu dari rakan-rakan lain atau mana-mana pihak terhadap usaha solidariti ini, ia sesuatu yang amat tidak wajar untuk berada dalam wajah pemikiran politik kita,” katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Sungai Udang, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan golongan tertentu yang mempertikaikan persefahaman yang dicapai UMNO dan PAS dalam menyatakan solidariti terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
“Soal pembunuhan, rogol, dibakar dan dikelar hidup-hidup, penganiayaan dan penghapusan etnik (Rohingya) tidak dapat diterima dari sudut kemanusiaan kerana nyawa manusia tidak seharusnya diperdagangkan.
“Masyarakat antarabangsa juga wajar turut bersama (perjuangkan nasib Rohingya), bukan sahaja di peringkat ASEAN dan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), malah PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu),” katanya.
Terdahulu, Jamil Khir turut menghadiri program ‘Solidariti Untukmu Rohingya’ di Guar Chempedak dan merasmikan jambatan Kuala Sungai Udang yang menelan kos RM250,000 dan akan memanfaatkan kira-kira 300 pesawah di situ. – BERNAMA