PFAM Banyak Bercakap, Tapi Banyak Juga Mengarut - Annuar


KUALA LUMPUR – “Saya dapati Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) banyak bercakap akhir-akhir ini. Tapi banyak juga mengarut,” kata bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Kata beliau, masalah dialami persatuan bola sepak dalam negara tidak tidak semudah seperti diperkatakan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang hanya tahu mendakwa persatuan bola sepak dalam negara tidak profesional.

Tegas beliau, hanya mereka yang pernah terlibat menguruskan persatuan bola sepak dalam negara memahami kedudukan sebenar, maka beliau mempelawa Izham minum kopi bersamanya bagi mendapatkan pengetahuan.

“Apakah yang PFAM buat selama ini untuk meningkatkan profersionalisme pemain? Profesionalkah pemain-pemain kita? Lebih baik PFAM tumpu pada tugas utama mereka.

“Tiada persatuan yang tak mahu bayar gaji pemain. Ini bukan soal profesional atau tidak. Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) antara persatuan tertua dan terbaik dalam negara tetapi mereka juga tak sunyi daripada masalah.

“Kalau nak tahu sebahagian dari pengalaman mengurus persatuan saya jemput Izham dan pegawainya minum kopi bersama saya. Mungkin kita bincang apa erti profesional,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Izham semalam mendakwa banyak pasukan Liga Malaysia (Liga M) belum mencapai tahap profesional dalam menghormati kontrak pemain, terutama dalam kes pembayaran gaji.

Beliau mendakwa masih ada 23 kes tunggakan gaji pemain yang belum selesai, melibatkan lapan buah pasukan. -Kedahnews.com