Polis Kedah Kenal Pasti Anggota Terlibat Kes Pukul Remaja


SINTOK - Polis Kota Setar sudah memanggil dan mengenal pasti anggotanya yang terlibat dalam kes dakwaan seorang pemuda dibelasah sekumpulan anggota polis semasa dalam tahanan polis pada 6 November lepas untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang bersalah dan mahu pihak mereka diberi peluang menjalankan siasatan dengan teliti.

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan masih di peringkat awal. Siasatan ini termasuk meminta laporan daripada pihak hospital untuk membantu siasatan," katanya ketika ditemui di program Bicara Sosial - Kecelaruan  Sosial, Ancaman Dadah dan Perpaduan di Pusat Konvensyen Universiti Utara Malaysia di sini, semalam.

Pada 6 November lalu, seorang pemuda, Muhammad Zul Farhan Zulkifli, 23, mendakwa dia ditahan sekumpulan polis yang tidak memakai uniform di sebuah rumah di Taman Awana, Jalan Langgar di sini.

Mangsa mendakwa, dia kemudian dipukul dan digari sebelum di bawa ke bilik siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama dua lagi rakannya.

Ketika disoal siasat, mangsa dikatakan dipukul menggunakan kabel elektrik sepanjang kira-kira satu meter dalam keadaan tangan bergari sebelum direman bagi siasatan satu kes samun.

Akibatnya, mangsa mendapat kecederaan pada paha dan jari kelingkingnya yang bengkak teruk walaupun kejadian sudah hampir sebulan berlaku.

"Siasatan masih di peringkat awal dan masih banyak peringkat siasatan yang perlu dilalui. Pun begitu, saya akan pastikan siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil ketika mengulas program terbabit berkata, tujuan program yang turut dihadiri anggota polis, penghulu kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) itu diadakan untuk memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa ini tetap terpelihara. – Bernama