Polis Kesan Penipuan Pakej Umrah Libat Kerugian RM14.2 Juta


KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu membongkar kegiatan penipuan pakej umrah yang dijalankan sebuah yayasan di negeri ini melibatkan kerugian kira-kira RM14.2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata jumlah itu melibatkan kira-kira 4,800 mangsa yang terdiri dalam kalangan guru dan berikutan itu pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap pengarah dan akauntan yayasan terbabit, selama empat hari, bermula Selasa.

Kes terhadap mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Hasil serbuan di premis yang terletak di Besut itu juga kita turut merampas beberapa barang kes termasuk 18 pasport, komputer riba, dua unit telefon bimbit dan beberapa dokumen.

“Hasil pemeriksaan di dalam satu akaun milik anak syarikat itu pihak polis mengesan terdapat kemasukan wang sebanyak RM14.2 juta ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya semakan juga mendapati terdapat pengeluaran wang menerusi cek dan tunai namun masih belum dapat dikesan ke mana ia dibelanjakan.

Katanya yayasan berkenaan menggunakan modus operandi dengan mengeluarkan surat tawaran untuk menarik perhatian guru-guru di negeri ini menyertai pakej umrah yang ditawarkan mereka menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Katanya pakej berkenaan bernilai RM6,990 seorang namun mereka hanya perlu membayar kira-kira RM3,000 sahaja manakala baki selebihnya dikatakan akan dibiayai oleh syarikat yang membuat tajaan.

Rosli berkata sehingga kini pihaknya telah menerima sebanyak 47 laporan, daripada mangsa manakala satu laporan oleh syarikat agensi pelancongan.

Katanya hasil pemeriksaan juga pihaknya mendapati yayasan berkenaan tidak didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau tidak menolak kemungkinan wang berkenaan digunakan untuk melakukan pelaburan dan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kita juga masih mengesan aliran wang yang dikeluarkan dan dibelanjakan…kita juga dapati yayasan ini mempunyai 10 anak syarikat dan hanya tujuh yang berdaftar SSM,” katanya.

Katanya yayasan berkenaan dikesan telah menawarkan pakej umrah ini dari Jun hingga Oktober lalu dan sering menunda tarikh untuk peserta mengerjakan umrah.

Rosli berkata pengarah yayasan berkenaan juga turut membuat tiga laporan polis berhubung ugutan dan ancaman yang diterima untuk mencederakannya. – BERNAMA