Polis Kulim Beri Amaran Keras Kepada Ah Long

Abdullah (dua, kiri) menurunkan poster iklan pinjaman wang tanpa lesen untuk menarik perhatian masyarakat.
KULIM - Polis memberi amaran keras kepada ah long yang menampal poster di kawasan terbuka.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, aktiviti menampal poster tawaran pinjaman tidak berlesen terutama di sekitar kawasan perumahan, semakin membimbangkan.

Sehubungan itu katanya, pihak polis terpaksa mengambil tindakan drastik untuk mencegah aktiviti tersebut, yang cuba menarik perhatian masyarakat dengan menampal poster di sekitar daerah ini.

“Kita boleh menangkap tanpa waran sesiapa sahaja yang cuba tampal poster ah long ini mengikut Seksyen 29AA (1) Akta Pemberi Pinjaman Wang. Mereka boleh dipenjarakan selama dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali,” katanya ketika mengadakan Ops Turunkan Poster Pinjaman Wang Tanpa Lesen di sekitar daerah ini, kelmarin.

Menurut Abdullah, kebanyakan mangsa terdiri daripada peniaga kecil yang kekurangan modal untuk memulakan ataupun mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Mereka mudah terpengaruh dengan tawaran diberikan dan akhirnya terperangkap kerana gagal membayar bayaran bulanan ataupun  harian.

"Keadaan itu boleh menyebabkan mereka bankrap sehingga terpaksa melarikan diri. Mereka akan terus jadi mangsa dan dikejar ah long," katanya.

Sementara itu, kata Abdullah, hampir 1,700  poster iklan ah long berjaya diturunkan dalam operasi pembanterasan di sebanyak 13 kawasan perumahan di sekitar bandar ini.

“Hari ini (kelmarin) kita berjaya turunkan iklan dipercayai milik ah long untuk menarik masyarakat membuat pinjaman dengan mereka.

“Operasi ini akan diperluaskan ke seluruh daerah. Kita harap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan iklan ah long ini kerana banyak keburukan, malah sudah ramai menjadi mangsa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian