"Pyan" Dan "Rambai", Menjunjung Kasih Tuanku!


SEPANG – Dua gajah,’Pyan’ dan ‘Rambai’, yang mengepalai perarakan Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam mencuri tumpuan orang ramai.

Siap dihias indah dengan kain berenda berwarna terang, kedua-dua haiwan itu berada pada barisan paling hadapan perarakan, masing-masing membawa pelakon daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berpakaian seperti raja dan permaisuri.

Walaupun julung kali terlibat dalam acara seperti ini, apatah lagi yang membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, kedua-dua gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah itu, kelihatan gagah dan tenang menyusun langkah kemas mengikut rentak muzik tradisional.

Namun, di sebalik ketenangan tersebut, ramai yang tidak tahu bahawa Pyan dan Rambai telah mula berlatih untuk hari bersejarah itu sejak dua minggu lalu.

Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Jabatan Perhilitan, Nasharuddin Othman berkata pihaknya perlu memastikan Pyan dan Rambai mengikut arahan, selain selesa dengan persekitaran di hadapan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

“Gajah, seperti kebanyakan haiwan, mahukan persekitaran dan rutin yang mereka sudah biasa, jika tidak akan tertekan.

“Kita juga memastikan Pyan dan Rambai mendapat rehat dan makan yang secukupnya supaya perarakan berjalan lancar,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, 13 pelatih gajah ditugaskan bagi menjaga haiwan itu sejak Khamis lalu termasuk ketika perarakan.

Katanya Pyan dan Rambai dipilih antara 27 gajah di pusat konservasi itu, kerana mudah mengikut arahan.

Penggunaan gajah sebagai tunggangan diraja, khususnya Raja-Raja Melayu, banyak dicatatkan dalam sejarah dan hikayat lama.

Kehadiran gajah dalam perarakan itu adalah bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan kerajaan Melayu lama, di samping mendedahkan adat resam dahulu kala kepada masyarakat.

Kira-kira 200 orang termasuk daripada JKKN dan pelajar sekolah terlibat dalam persembahan perarakan mengiringi keberangkatan balik pasangan diraja itu yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong semalam.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang akan menggantikan baginda dijadual untuk melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, pada Selasa. – BERNAMA