Rakyat Mampu Nilai Sikap Dr Mahathir Yang Terkini


ALOR SETAR - Rakyat di negara ini diyakini mampu menilai dengan baik tentang tindak-tanduk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bertentangan dengan apa yang beliau pernah canangkan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, rakyat di negara ini mampu melihat dan berfikir dengan baik untuk membuat penilaian atas tindakan bekas Perdana Menteri tersebut.

"Ini perlu dinilai oleh rakyat terhadap tindakan Tun M itu sendiri. Yang ini saya tak mahu sebut apa-apa, rakyat boleh menilai dan rakyat boleh melihat..," katanya ketika ditemubual pemberita di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas mengenai sikap negarawan tersebut, Ahmad Bashah kesal dengan apa yang beliau anggap sebagai "cakap tidak serupa bikin" Dr Mahathir kerana beliau pernah menghamburkan pelbagai kata nista dan kutukan terhadap DAP dan kepimpinannya selama berpuluh tahun.

Menteri Besar itu agak hairan dengan pendirian Dr Mahathir yang begitu mudah berubah dalam tempoh yang sangat singkat terhadap DAP yang selama ini dimusuhi dengan begitu ketara sekali sebelum ini.

"Cakap tak serupa bikinlah. Kalau dulu beliau cakap lain, tapi sekarang tindakannya agak begitu jauh menyimpang dari apa yang beliau sebut dulu.

"DAP tak berubah, macam itu juga. Tapi Tun M berubah. Kita pun tak sangka sampai begitu sekali (perubahan Tun M)," ujar beliau kesal dengan apa yang berlaku.

Dr Mahathir sebelum ini begitu terkenal sering menghentam DAP dan pimpinan parti itu telah membuat "pusingan U" serta mendakwa dirinya "tersilap pendirian" tentang parti berkenaan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Beliau yang melabel DAP dengan pelbagai tanggapan itu tanpa segan silu kini menganggap parti pimpinan Kit Siang itu adalah lebih baik berbanding UMNO dan Barisan Nasional yang mengangkat karier politik beliau puluhan tahun sebelum ini.

Difahamkan bahawa bekas Perdana Menteri itu nekad untuk menjatuhkan UMNO selepas beberapa permintaan beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak dipenuhi dan kemuncaknya apabila anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.

Biarpun sebelum ini mendakwa media asing sebagai alat propaganda Yahudi, Dr Mahathir tidak teragak-agak untuk menjadikan laporan portal milik warga asing, Sarawak Report, sebagai sumber rujukan beliau untuk menyerang Perdana Menteri meskipun fakta dan kebenaran portal tersebut disahkan tidak benar oleh pihak berkuasa. -Kedahnews.com