Rakyat Tidak Alami Amnesia Lupa Siapa Tun M – MIC


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tidak menghadapi amnesia seperti DAP hingga lupa tentang perbuatan yang pernah dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Ketua Pemuda MIC, C.Sivarraajh berkata, Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri memenjarakan ramai pihak dibawah Akta ISA hanya kerana menentangnya.

Justeru, katanya, pimpinan DAP semasa tidak sepatutnya cuba memperbodohkan rakyat dengan berpegangan tangan dengan Mahathir kononnya demi kepentingan rakyat.

“DAP sejak dua dekad lalu mengkritik Mahahtir sebagai seorang diktator. Mahathir menyatakan DAP sebuah parti politik anti-Melayu dan anti-Islam.

“Kini kedua-dua pihak berpegangan tangan di perhimpunan agung DAP walaupun menyedari rakyat pasti mengetahui motif sebenar mereka tanpa berasa malu,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sivarraah berkata, DAP dan Mahathir sanggup bekerjasama kerana untuk kepentingan masing-masing dengan konsep `kau jaga belakang aku, aku jaga belakang kau’.

Jelsa beliau, DAP mahu mempergunakan Mahathir untuk memujuk rakyat menumbangkan kerajaan manakala Mahathir mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas beliau, kerjasama yang tidak ikhlas dan hipokrit seperti itu perlu ditolak oleh rakyat. – Kedahnews.com