Ramai Pihak Tampil Mahu Bantu Adik Anas Di Kulim


KULIM - Nasib bayi malang Muhammad Anas Mustaqim Abdullah, 10 bulan yang mempunyai masalah paru-paru tidak matang di Pangsapuri Kulim Square mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Persatuan NGO-NGO Kulim-Bandar Baharu dan Parlimen Padang Serai.

Pegawai JKM Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, bayi malang itu akan menerima bantuan am sebanyak RM300 bermula Januari tahun depan.

“Kita difahamkan adik Anas ini hanya boleh minum susu khas yang agak mahal, jadi kita akan berikan bantuan am sebanyak RM300 bermula tahun depan.

“Kita harap dengan wang ini dapat bantu menampung kos beli susu Anas, dan adik Anas cepat sihat,” katanya.

Selain itu, Ketua Umno Bahagian Padang Serai,  Asmadi Abu Talib berkata, pihaknya akan cuba membantu untuk mendapatkan mesin oksigen yang membantu perkembangan bayi itu.

“Kos mesin itu juga Insya-ALLAH akan ditanggung kerajaan dan Exco Kesihatan negeri juga akan memberi bantuan,” katanya.

Selain itu, ibu bayi tersebut, Nurhafizah Mohd Zain, 36, berterima kasih kepada pihak yang membantu.

“Saya berterima kasih, ada yang WhatsApp suami meminta nombor akaun untuk sumbangkan dana dan hari ini (semalam) ada yang datang berkunjung dan hulurkan sumbangan,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan adik Anas memerlukan dana untuk membayar sebahagian kos mesin berkenaan kerana kekangan kewangan ibu bapanya.

Sumber: Sinar Harian