ALOR SETAR - Ramai rakyat Kedah dipercayai kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bersekongkol dengan DAP, khususnya pemimpin utama parti berkenaan, Lim Kit Siang, yang sering dikecam beliau suatu masa dahulu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau sendiri kecewa dan malu dengan pendirian Dr Mahathir tersebut ekoran terlalu banyak kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang direkod menghentam Kit Siang sebelum ini.
"Saya sendiri tak sanggup nak kata. Saya yakin ramai orang Kedah yang kecewa dengan beliau, yang bukan UMNO pun kecewa.
"Tapi itulah Tun M hari ini kerana kerana dendam kesumat politiknya, beliau sanggup berbuat perkara yang mengecewakan itu," kata beliau dalam satu sesi sidang media yang berlangsung di ibu negara semalam.
Ahmad Bashah diminta mengulas mengenai negarawan tersebut yang kini memuji-muji DAP dan kepimpinan parti itu sedangkan beliau telah mengungkap terlalu banyak tuduhan dan kecaman, termasuk dengan melabel Kit Siang dan DAP sebagai rasis.
Menteri Besar Kedah itu turut kesal dengan perubahan 360 darjah yang berlaku pada Dr Mahathir, sedangkan DAP dan para pemimpin parti yang dikatakan sinonim dengan sifat "chauvinis ultra-kiasu" itu tidak pernah berubah sikapnya.
"DAP yang dia kata tu tak pernah berubah, tapi dia (Dr Mahathir) pula yang berubah," katanya, kesal dengan apa yang berlaku.
Dr Mahathir yang begitu terkenal sering menghentam DAP dan pimpinan parti itu sebelum ini telah membuat "pusingan U" serta mendakwa dirinya "tersilap pendirian" tentang parti berkenaan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
Beliau yang melabel DAP dengan pelbagai tanggapan itu tanpa segan silu kini menganggap parti pimpinan Kit Siang itu adalah lebih baik berbanding UMNO dan Barisan Nasional yang mengangkat karier politik beliau puluhan tahun sebelum ini.
Difahamkan bahawa bekas Perdana Menteri itu nekad untuk menjatuhkan UMNO selepas beberapa permintaan beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak dipenuhi dan kemuncaknya apabila anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.
Biarpun sebelum ini mendakwa media asing sebagai alat propaganda Yahudi, Dr Mahathir tidak teragak-agak untuk menjadikan laporan portal milik warga asing, Sarawak Report, sebagai sumber rujukan beliau untuk menyerang Perdana Menteri meskipun fakta dan kebenaran portal tersebut disahkan tidak benar oleh pihak berkuasa. - Kedahnews.com