Remaja 17 Tahun Dipenjara 9 Tahun, 2 Sebatan


PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan keatas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang terlibat dalam kejadian samun di hadapan sebuah pondok pengawal di Kelana Jaya, September lalu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas remaja berkenaan menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kelana Jaya, hujung September lalu.

Memetik Harian Metro, remaja berkenaan bersama seorang lagi rakannya, R Pirabangaran, 20, sebelum ini mengaku tidak bersalah untuk tiga pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun Pirabagara tetap mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan mahkamah menetapkan 29 Disember untuk sebutan semula kes.

Peguam pembela tertuduh, Muhamad Asri Abdul Hamid, memohon anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan masih muda.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang terhadap Mohamad Rasul Mohd Zukri, 26, dengan merampas kad pengenalan, kad Touch ‘n Go dan sebuah kereta jenis Honda Civic milik mangsa.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan parang terhadap Ain Nina Marji, 23, dengan merampas kad pengenalan, kad penguasa kastam, dua kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM200.

Semua perbuatan itu dilakukan di tempat, waktu dan tarikh sama iaitu 3.45 pagi, di Stesen Minyak Petronas Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, 23 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat. –Kedahnews.com