Rumah Bot Di Tasik Pedu Kian Dapat Sambutan Hangat


BERMODALKAN dari wang simpanan dan sedikit pengalaman sebagai kakitangan di sebuah resort menjadi pelaris kepada seorang pemuda di Kuala Nerang, di sini mengusahakan rumah bot di Tasik Pedu.

Amir Wahab, 42, berkata, pelbagai halangan dan tohmahan dilemparkan kepadanya semasa menceburi perniagaan rumah bot, namun itu tidak pernah mematahkan cita-citanya.

"Tasik Pedu pernah menjadi sebuah resort bertaraf antarabangsa di situ tetapi gagal dan akhirnya ditutup.

"Bila saya kata nak buka perniagaan rumah bot di situ, saya dianggap gila oleh beberapa pihak. Mereka kata kerajaan dah labur berjuta ringgit untuk majukan resort di tasik itu tapi gagal, apatah lagi saya yang hanya bermodalkan wang simpanan sebanyak RM30,000," katanya.

Bagaimanapun semua tohmahan itu dianggap sebagai cabaran untuk dia berjaya dan sehingga kini perniagaannya terus mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat tempatan dan luar.

Rumah bot diusahakan oleh Amir mendapat sambutan sungguh menggalakkan di Tasik Pedu.
Menurutnya, sebelum itu dia pernah bekerja di resort di Tasik Pedu dan melalui pengalaman itu, dia cuba mempelajari selok belok perniagaan itu.

"Selepas resort ditutup, saya cuba beranikan diri untuk terlibat dalam perniagaan ini. Dengan bantuan media sosial dan rakan-rakan, kini rumah bot saya dapat sambutan.

"Memang pada awalnya saya hadapi masalah kerana terpaksa tanggung kos tinggi dan persepsi masyarakat sebelum ini mengenai tasik yang dikatakan semakin sunyi. Selama dua tahun saya tanggung rugi dan akhirnya kini semakin maju," katanya.

Amir berkata, bagi menarik pengunjung ke situ, pelbagai keistimewaan Tasik Pedu turut diperkenalkan kepada masyarakat luar.

"Ini menjadikan Tasik Pedu sebagai daya tarikan dan tempat rekreasi kepada mereka yang inginkan kehidupan di hutan serta luar bandar," katanya.

Katanya, pada awalnya dia mengalu-alukan keluarga yang berminat menghayati keindahan alam di situ dengan mengadakan pakej memancing, meredah belantara, berkayak, spa ikan dan snorkeling.

"Sambutan sungguh menggalakkan hingga ada dalam kalangan mereka menjadikan rumah bot itu sebagai tempat perjumpaan keluarga.

"Bila dah dapat sambutan, saya buka pula kepada agensi kerajaan dan swasta yang mahu adakan seminar di situ. Kini setiap hujung minggu pasti dapat tempahan daripada pelbagai pihak," katanya.

Tambahnya, selain keindahan alam sekitar, menu makanan yang dihidangkan kepada pengunjung juga turut menarik minat mereka untuk tinggal di situ.

"Pelbagai menu turut kami sediakan tetapi yang paling menarik perhatian ialah masakan kampung.

"Semua ikan yang dimasak di sini adalah hasil tangkapan di tasik itu. Ulaman juga dipetik dari sekitar tasik ini," katanya.

Bagi meneruskan usahanya itu, dia bercadang membina sebuah rumah bot lagi bagi menampung permintaan daripada pengunjung ke situ untuk mengadakan pelbagai aktiviti.

Sumber: Sinar Harian