Sami Myanmar Kutuk, Majlis Ulama Indonesia Puji Mohd Najib


ALOR SETAR - Di sebalik kutukan sami-sami Myanmar terhadap Perdana Menteri Malaysia, Majlis Ulama Indonesia tampil mempertahan dan memuji Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang membela umat Islam Rohingya yang dizalimi keganasan rejim tentera Myanmar.

Setiausahan Agung Majlis Ulama Indonesia, Dr. Robi Nurhadi berkata, kesanggupan Mohd Najib dalam memperjuang nasib etnik Rohingya bersama rakyat Malaysia baru-baru ini membuktikan Perdana Menteri Malaysia itu seiring dengan ajaran Islam.

"Ajakan beliau (Mohd Najib) baik kerana seiring dengan Islam yang mengajar umatnya peduli terhadap prinsip kemanusiaan.

"Dukacitanya, isu ini dikaitkan dengan politik ekoran ia hanya membabitkan umat Islam di satu tempat sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Robi dalam kenyataannya menggesa seluruh masyarakat dunia, khususnya umat Islam supaya mengenepikan perbezaan pandangan politik berhubung isu kezaliman yang dihadapi etnik Rohingya dan bernada tegas membela nasib umat Islam di sana.

Mohd Najib sebelum itu mengajak Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), supaya bersama-sama bersolidariti memperjuang nasib etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang sedang ditindas oleh junta tentera Myanmar.

Tegas Perdana Menteri, kezaliman terhadap etnik Rohingya perlu dihentikan serta merta dan menggesa supaya seluruh dunia campur tangan terhadap konflik kemanusiaan yang berlaku di negara bergolak itu.

Media sebelum ini melaporkan tentang ribuan etnik Rohingya yang dirogol, dibakar hidup-hidup dan dibunuh kejam, menjadi mangsa keganasan junta tentera Myanmar yang dianggap sebagai antara tragedi kemanusiaan terburuk berlaku dalam sejarah Asia Tenggara. -Kedahnews.com