Sanggup Abai Keluarga Sendiri Demi Jaga Gajah "Yatim Piatu"


NAIROBI - Seorang lelaki di Kenya sanggup mengenepikan kepentingan keluarganya semata-mata mahu mengabdikan diri untuk menjaga sekumpulan gajah "yatim piatu'.

Benjamin Kyalo berkongsikan kisah cintanya terhadap lebih 60 ekor gajah di Pusat Integrasi Ithumba sehingga dia dianggap sebagai 'ibu' dan 'nenek' oleh haiwan tersebut.

Menurut portal Mail Online, Kyalo telah menghabiskan masa selama 10 tahun untuk menjaga dan membesarkan gajah yatim piatu itu seperti anaknya sendiri.

"Saya melihat mereka seperti anak, keluarga saya.

"Saya kembali kepada keluarga asal (manusia) selagi mampu, tetapi masa yang dihabiskan bersama keluarga gajah sangat menyenangkan hati saya," katanya.

Malah Kyalo berkata, dia bernasib baik kerana ahli keluarganya memahami tugas tersebut dan mereka memberi semangat kepadanya untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

"Mereka juga berbangga dengan saya. Hubungan saya dengan gajah ini hadir daripada hati dan memberi sepenuh tumpuan bagi memastikan haiwan tersebut mendapat perhatian sewajarnya," kata lelaki itu.

Kyalo merupakan ketua penjaga gajah di Yayasan Hidupan Liar David Sheldrick, pusat integrasi yang terkenal di dunia dan dia menghabiskan masa setiap hari bersama gajah yatim piatu serta gajah liar.

Selain keluarga sendiri, Kyalo juga menolak kemewahan melalui bakat yang dimilikinya dan sanggup bergadai nyawa termasuk risiko diserang pemangsa liar seperti singa semata-mata mahu mencari kumpulan gajah liar yang sanggup menerima gajah yatim piatu yang dijaganya.

Berdasarkan rekod, Kyalo berjaya menyatukan semula beberapa gajah yang dijaganya dengan kumpulan gajah liar sepanjang 10 tahun berkhidmat di yayasan berkenaan.

"Proses untuk mengembalikan gajah jinak ke kumpulan gajah liar memakan masa lama sehingga 10 tahun.

"Saya perlu memastikan gajah yatim piatu benar-benar bersedia untuk kembali ke habitat asal agar tidak mengalami sebarang masalah di kemudian hari," katanya. -Mail Online