Saudagar Berlian India Taja 236 Pengantin Kahwin Percuma


AHMEDABAD - Seorang pedagang berlian dari India telah bermurah hati mengadakan majlis perkahwinan untuk lebih daripada 200 orang pengantin perempuan yang tidak mempunyai bapa.

Selain membiayai pernikahan mereka, lelaki itu turut memberi hadiah bernilai ribuan dolar agar wanita-wanita miskin itu dapat memulakan hidup baru.

Mahesh Savani telah melakukan upacara perkahwinan Hindu bernama ‘Kanyadaan’ itu, iaitu satu amalan menyerahkan anak perempuan untuk dikahwinkan; untuk 236 orang pengantin perempuan miskin yang tidak mempunyai bapa dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di barat Gujarat pada hari Krismas lalu.

Savani, yang percaya bahawa ‘menyerahkan’ pengantin perempuan merupakan satu bentuk rahmat daripada Tuhan, telah mengadakan majlis perkahwinan beramai-ramai setiap tahun daripada tahun 2012 lagi.

“Dengan selesainya majlis perkahwinan Ahad lalu, sya atelah menjadi seorang bapa yang bangga kerena telah berjaya melaksanakan ‘kanyadaan’ untuk lebih 700 orang gadis,” katanya kepada AFP.

Ratusan pengantin wanita itu memakai busana tradisional berwarna-warni dan perhiasan barangan kemas semasa majlis perkahwinan mereka yang dihadiri oleh ribuan tetamu di bandar Surat, iaitu sebuah pusat utama bagi industri pengilapan berlian.

Taikun dermawan itu turut menghadiahkan emas dan barangan kelengkapan rumah termasuk katil dan sofa bernilai 500,000 rupee (RM33,030) untuk setiap orang pengantin perempuan bagi membantu mereka mulakan hidup baru di alam perkahwinan.

Bagaimanapun, kos keseluruhan majlis perkahwinan mega ini tidak didedahkan kepada umum.

Apa yang menarik lagi, dua daripada pengantin lelaki dalam majlis itu merupakan anak lelakinya sendiri.

Savani menceritakan bahawa beliau mula melakukan kempen amal tersebut pada tahun 2008 apabila salah seorang pekerjanya meninggal dunia hanya beberapa hari sebelum majlis perkahwinan anak perempuannya. -Kedahnews.com