Selit Duit Di Wiper Kereta Taktik Terbaru Samun Wanita?


“BERHATI-HATI ya semua, macam-macam kemungkinan ada sekarang, penjahat ada di mana-mana,” kata seorang wanita yang mendakwa nyaris menjadi mangsa samun selepas beli-belah di Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan.

Menerusi akaun Facebook, Norlaila Dlaila Dlaila berkongsi pengalamannya apabila menyedari terdapat duit bernilai RM1 terselit di wiper (pengelap cermin) keretanya.

Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, wanita tersebut bersama seorang anaknya meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang ada lima buah kenderaan sahaja.

Apabila memasuki kenderaannya, dia menyedari ada wang di wiper namun tidak terus mengambilnya kerana bimbang dipukau atau dirompak.

“Selang dua dari kereta akak memang ada orang dalam kereta, enjin hidup tapi mereka tak bergerak. Mungkin mereka tunggu akak turun ambik duit itu, Tapi akak tak turun sebab memang tak nampak.

“Memang Allah nak lindung akak, dah keluar dari Palm Mall, akak baru nampak duit itu,” tulisnya.

Jelasnya, duit tersebut dibiarkan sehingga hilang daripada wiper.

Perkongsian Norlaila mendapat sokongan netizen yang mahukan semua pemandu terutamanya wanita untuk lebih berhati-hati dengan taktik licik perompak yang sentiasa mencari ‘peluang’ untuk menyamun. –Kedahnews.com