Semua 421 Pelajar Malaysia Di Aceh Disahkan Selamat


PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan bahawa semua pelajar Malaysia yang berada di Aceh, Indonesia berada dalam keadaan selamat berikutan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan itu pada Rabu.

KPT dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, berdasarkan maklumat yang diterima dari Education Malaysia, Indonesia di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, kesemua 421 pelajar Malaysia selamat.

Ini kerana katanya, lokasi kejadian 121 kilometer dari kawasan penempatan pelajar.

"Pihak Kedutaan Besar Malaysia Jakarta melalui Education Malaysia Indonesia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau keadaan semasa dan telah bersiap-siaga dengan sebarang kemungkinan susulan.

"Para pelajar juga diberi peringatan supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan atau Pemerintah Provinsi Aceh," katanya.

Kejadian gempa bumi berukuran 6.4 Skala Richter melanda daerah Pidiejaya, Aceh pada pagi Rabu, mengakibatkan 100 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Tambah KPT, 380 pelajar Malaysia di Aceh merupakan penuntut dalam bidang Pengajian Islam di Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh.

Manakala baki 41 lagi merupakan pelajar Madrasah Agama di sekitar Banda Aceh.

Sumber: mStar