REALITINYA memang tidak dapat dinafikan bahawa keharmonian sesebuah negara terletak pada kerukunan masyarakatnya, manakala kerukunan sesebuah masyarakat pula bergantung kepada kekuatan institusi keluarga.
Islam mengajar umatnya kaedah membina keluarga bahagia agar dapat memperbaiki keadaan hidupnya, mengenal hak dan kewajipan dalam pergaulan supaya beruntung di dunia dan akhirat.
Bagaimanapun, apa yang menyedihkan ialah gejala keruntuhan keluarga terus berlaku dan adakalanya agak membimbangkan. Akibat hilang ketenangan hidup berkeluarga, maka keruntuhan ini menyumbang kepada peningkatan pelbagai jenayah dalam masyarakat seperti penderaan, keganasan rumah tangga, lari dari rumah bahkan tragedi pembunuhan.
Ini sudah pasti menimbulkan kebimbangan banyak pihak yang sedar akan kesan jangka panjang pengabaian pembangunan keluarga sehingga menyukarkan pembentukan keluarga bahagia generasi masa hadapan.
Persoalannya, mengapakah ia berlaku? Kenapa institusi keluarga pada masa kini tidak mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga? Apakah yang menyebabkan keluarga bahagia yang diidamkan pada mulanya berakhir dengan keruntuhan?.
Antara faktornya ialah kelemahan nilai takwa yang menjadi syarat utama dalam pembinaan sebuah keluarga dan tunjang kepada kekuatan dalam masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 1:
“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan diri kamu (bermula) daripada dari yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta, peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
JANGAN CUAI LAKSANA AMANAH
Dalam konteks ini, suami isteri dan ibu bapa tidak boleh mencuaikan tanggungjawab mereka. Mereka perlu memikulnya dalam menjalankan amanah perkahwinan sebagaimana kehidupan berkeluarga Rasulullah SAW dan para sahabat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Sebagai ibu bapa, usah dilupakan perkara asas sebuah keluarga bahagia iaitu cinta dan kasih sayang kepada seluruh ahli keluarga. Percayalah, pada hari ini kita terlalu sibuk dengan urusan luar dengan alasan untuk mencari rezeki.
Namun, kita lupa bahawa ahli keluarga terutama anak-anak bukan hanya memerlukan duit, sebaliknya mereka sangat perlukan kasih sayang dan perhatian yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit.
Keluarga bahagia ialah yang terbentuk berlandaskan al-Quran dan Sunah bagi merealisasikan kebahagiaan dunia dan akhirat. Sememangnya membina sebuah keluarga bahagia bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia mempunyai pelbagai ragam.
Namun dalam konteks bermasyarakat dan bernegara, semangat penyatuan serta perpaduan dilihat begitu penting ke arah membina sebuah negara bangsa yang makmur lagi harmoni. Jika nilai-nilai ini dihayati dengan mendalam, nescaya matlamat membina keluarga bahagia dan kesejahteraan negara akan tercapai, Insya-Allah.
Sumber: Utusan