Setiap Kali Sambutan Hari Krismas, Lelaki Ini Jadi Popular


MALANG (Indonesia) – Setiap kali tibanya sambutan Hari Krismas, seorang lelaki yang tinggal di Desa Wonomulyo di sini pasti menjadi individu paling popular.

Lelaki berusia 54 tahun itu bukan sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya malah dia juga mempunyai nama yang unik iaitu Slamet Hari Natal.

“Iya itu nama saya,” katanya sambil menunjukkan kad pengenalan diri yang tertera nama dan tarikh lahirnya pada 25 Disember 1962.

Menurutnya, ketika dilahirkan pada Hari Krismas dia disambut oleh seorang bidan beragama Kristian.

“Kerana lahir pada Hari Krismas bidan ini memberi cadangan untuk memberi nama Selamat Hari Natal kepada saya.

“Ibu bapa saya menerima cadangan berkenaan, tetapi kerana saya orang Jawa, Selamat ditukar kepada Slamet,” jelasnya.

Menurutnya, ibu bapa beragama Islam tetapi mereka tiada masalah memilih nama itu.

“Walaupun saya beragama Islam tetapi penduduk di sini tidak pernah menghina atau memandang serong terhadap saya.

“Semua penduduk kampung gembira memanggil nama saya setiap kali ketibaan Hari Krismas,” katanya. – Agensi