Sorotan 2016: Sektor ICT Negara Catat Prestasi Cemerlang


KUALA LUMPUR – Sektor teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang sepanjang 2016 dengan kemajuan dalam keterangkuman digital, e-dagang dan Analitis Data Raya (BDA).

Antara yang menwarnai sektor berkenaan ialah pelantikan pengasas Alibaba, Jack Ma, sebagai penasihat ekonomi digital kepada Kerajaan Malaysia bagi meneraju pembangunan e-dagang negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada November.

Jack Ma, jutawan hasil usaha sendiri dan inovator yang hebat, bersedia untuk memberi nasihat dan membantu dalam meneroka, membangun dan menentu hala tuju masa depan ekonomi digital negara.

Selain itu, 2017 juga telah diumumkan sebagai ‘Tahun Ekonomi Internet’ dengan Najib menggariskan lima strategi pemangkin untuk tahun depan iaitu mikrokosma fizikal, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan – untuk meningkatkan ekonomi Internet.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn Bhd (MDEC) Datuk Ng Wan Peng berkata segmen e-dagang dijangka menyumbang 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, hanya 0.6 peratus kurang daripada sasaran yang ditetapkan bagi 2020.

“Ini menunjukkan kejayaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk membantu pertumbuhan industri digital.

“Melalui usaha-usaha keterangkuman digital, termasuk program e-Rezeki dan e-Usahawan, ekonomi digital menyumbang 17.8 peratus kepada KDNK negara pada 2015 dan memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sasaran yang ditetapkan bagi 2020 adalah untuk mencapai 18.2 peratus sumbangan kepada KDNK.

Ng berkata sehingga Ogos, Malaysia menjadi pilihan 22 syarikat BDA multinasional dari enam negara, yang membuktikan kemajuan mantap negara sebagai peneraju hab penyelesaian BDA utama di Asia Tenggara.

Susulan peningkatan kesedaran dan penggunaan BDA dalam kalangan peserta industri tempatan tahun ini, sasaran permintaan 2020 bagi saintis data dan profesional data telah disemak semula, masing-masing kepada 2,000 dan 16,000 berbanding masing-masing pada 1,500 dan 15,000.

Malah, sektor pusat data mencatatkan pertumbuhan 10 peratus setelah lebih banyak pembekal dapat beralih daripada penyelesaian perniagaan tradisional kepada yang lebih menyeluruh, penyelesaian diterajui digital.

Sebagai agensi utama yang bertanggungjawab memacu ekonomi digital Malaysia, Ng berkata MSC Malaysia (sebelum ini Koridor Raya Multimedia) mencatatkan pertumbuhan pelaburan yang tinggi daripada syarikat berstatus MSC sejak penubuhannya pada 1996.

Sehingga 30 November 2016, pelaburan yang diterima sebanyak RM7.94 bilion dengan 44 peratus adalah pelaburan langsung asing.

Menariknya, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFZ) pertama di dunia yang akan dilancarkan bersama-sama dengan Jack Ma pada Mac tahun depan, akan menggabungkan zon fizikal dan zon maya, dengan perkhidmatan dalam talian dan digital tambahan untuk memudahkan e-dagang antarabangsa dan inovasi berasaskan Internet.

“DFZ akan membantu untuk menjamin aktiviti e-perdagangan global di Malaysia dan pada masa yang sama, meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke peringkat global.

Ia juga bertujuan untuk menggalakkan penubuhan syarikat-syarikat baru, yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi kita,” kata Ng.

Pelaksanaan DFZ diumumkan dalam Bajet 2017 oleh Najib yang juga Menteri Kewangan.

Dalam perkembangan yang sama, MDEC dengan kerjasama sektor swasta meninjau penubuhan kategori lokasi baharu dikenali sebagai Hab Digital Malaysia untuk komuniti permulaan pada 2017.

Ini akan membolehkan komuniti permulaan menikmati faedah termasuk insentif cukai.

“Bagi 2017, kami berharap untuk merebut peluang yang akan mempercepatkan pertumbuhan Ekonomi Internet.

“Selain itu, pelantikan Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital kita akan membantu dalam mencapai matlamat kita dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Ekonomi Internet yang ideal di ASEAN,” kata Ng.

Sementara itu, Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) mengkaji semula pertumbuhan KDNK bagi tahun ini kepada 4.2 peratus dan pada 2017 pada empat peratus.

Pengerusinya Chin Chee Seong berkata, ini disebabkan oleh ketidaktentuan pertukaran mata wang, keputusan undian yang tidak dijangka mengenai Brexit (Britian keluar dari Kesatuan Eropah) dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat, serta hala tuju Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Beliau berkata peruncit dan pengedar ICT yang paling terjejas oleh keadaan ringgit lemah kerana kebanyakan perkakasan diimport.

“Walaupun terdapat permintaan untuk perkakasan terutamanya dalam sektor korporat, pertumbuhan hampir tidak berubah kerana lebih ramai beralih ke arah membeli-belah dalam talian, sekali gus menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh dalam barangan perisian,” katanya.

Selain itu, sentimen pengguna yang berhati-hati terhadap perbelanjaan juga memberi kesan kepada peruncit dan saluran pengedaran.

“Bagaimanapun, ini mungkin tidak seburuk pada 2015 apabila jualan mencatatkan penurunan kira-kira 30 peratus disebabkan oleh pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April pada kadar enam peratus.

“Bagaimanapun GST kini telah diterima. Pengguna dan peruncit serta pengedar sudah biasa dengan rejim cukai,” katanya, sambil menambah bahawa pertumbuhan e-dagang dijangka mencecah lapan peratus tahun ini.

Sementara itu, beralih kepada keselamatan siber, tahun ini juga menyaksikan terdapat keperluan untuk menangani ancaman siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, dengan adanya teknologi digital dan sambungan internet yang tinggi, bahaya ancaman siber akan berlaku bukan sahaja akan memberi kesan kepada negara tetapi juga masyarakat global.

Antara ancaman utama ialah pengintipan siber, penyebaran malware, jenayah siber dan salah guna media sosial.

“Trend semasa virus dikenali sebagai ‘Ransomware’ dan paling varian yang telah dilaporkan ialah ‘Cryptolocker’ dan ‘Cerber “, yang secara amnya dilaporkan oleh syarikat-syarikat tempatan dan individu kepada kami,” katanya.

Sejak Januari hingga November, 90 peratus daripada ancaman dilaporkan melalui Cyber999 dengan 7,698 kes dan telah diselesaikan oleh CyberSecurity.

Tahun lepas, jumlah kes diterima dan diselesaikan adalah 9,420.

“Kita juga telah melihat bagaimana rangkaian dan sistem kawalan industri terperingkat dikompromi dan bagaimana serangan seperti itu telah menjejaskan perniagaan dan kebolehan kerajaan untuk berfungsi.

“Jenayah siber misalnya menyasarkan sektor ekonomi yang terus berkembang, selagi penjenayah boleh meraih keuntungan kewangan daripada sistem komputer,” katanya.

Amirudin berkata landskap keselamatan siber akan mencabar tahun depan disebabkan oleh kemajuan dalam ICT serta kemunculan trend baru Internet of Things (IoTs).

Oleh itu, berdasarkan kepada perubahan pesat ancaman siber, katanya, terdapat keperluan segera bagi Malaysia untuk mendapatkan program keselamatan siber yang lebih efektif.

Antara inisiatif berterusan diadakan sepanjang tahun ini ialah Program Kesedaran Keselamatan Siber Untuk Semua, skim Malaysia Trustmark yang memeriksa kesahihan dan proses organisasi yang terlibat dalam e-dagang dan makmal forensik Digital CyberSecurity Malaysia yang menyokong agensi penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan jenayah siber.

“Usaha-usaha kerjasama kami juga dapat dilihat melalui perkongsian awam-swasta kerana ia merupakan keperluan penting bagi memastikan semua pihak di Malaysia dapat beroperasi dan mendapat manfaat daripada kelebihan persekitaran siber yang selamat dan dipercayai,” kata Amirudin.

CyberSecurity Malaysia adalah agensi pakar keselamatan siber negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). – BERNAMA