Sultan Muhammad V berangkat ke Istana Negara |
KOTA BHARU - Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat di Istana Negeri, Kubang Kerian sempena keberangkatan Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V ke Istana Negara, Kuala Lumpur bermula tepat jam 7.50 pagi tadi.
Istiadat yang dimulakan dengan kawalan hormat diraja itu dibarisi 107 anggota dan tiga pegawai Rejimen Alterleri Diraja Kem Desa Pahlawan yang diketuai oleh Mejar Mohd Saiful Azly dengan membawa satu panji.
Serentak itu, tembakan meriam juga turut menggemakan kawasan Kubang Kerian sebelum Yang di-Pertuan Agong memeriksa kawalan kehormat.
Turut disertakan bacaan doa dari Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V meninggalkan Istana Negeri tepat jam 8.10 pagi diiringi pegawai-pegawai kanan kerajaan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk ke Kuala Lumpur.
Turut membanjiri kawasan persekitaran istana, ratusan rakyat yang tidak jemu menunggu seawal jam 6 pagi lagi bagi memberi penghormatan kepada baginda.
Sumber: Sinar Harian