Tak Jadi Cerita Jika Hanya Tampilkan Upin Ipin – Norman KRU


JIKA sebelum ini heboh mengenai filem terbaharu terbitan Les’s Copaque Production dan KRU, Upin Ipin Jeng Jeng Jeng berjaya mendapat kutipan RM3 juta, setelah empat hari ditayangkan.

Kali ini, muncul pula luahan kecewa penonton yang menyifatkan jalan cerita filem itu sangat membosankan.

Malah, ada penonton turut menyarankan ibu bapa membatalkan hasrat utnuk membawa anak menonton filem ini, sekiranya anak mereka merupakan peminat nombor 1 Upin Ipin.

Menurut penonton yang tidak didedahkan identiti itu, filem ini tidak banyak menampilkan Upin Ipin, selain jalan ceritanya perlahan dan skripnya yang agak lemah.


Sementara itu, penerbit filem tersebut, Datuk Norman Abdul Halim tampil meminta orang ramai membetulkan tanggapan sebelum pergi menyaksikan filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng.

Katanya, penonton perlu menerima perubahan yang dilakukan kerana filem ini bukan 100% filem animasi.

“Bagi saya ini semua bergantung kepada unsur penerimaan kerana mungkin orang mengharapkan filem Upin Ipin ini 100% menceritakan tentang animasi sahaja.

“Ramai sebenarnya yang salah kerana mereka beranggapan untuk melihat animasi Upin dan Ipin daripada mula hingga ke hujung filem ini.


“Kerana sejak dari awal lagi kita sudah cakap dimana filem ini menceritakan tentang yang hidup dan animasi.

“Tidak akan menjadi cerita jika kesemua filem ini hanya cuma menampilkan Upin dan Ipin sahaja.

“Sebenarnya kita hendak menghidupkan watak-watak setiap pelakon bagi mewarnakan lagi filem ini dengan babak-babak tertentu untuk mengerakkan cerita melalui konflik yang terjadi.

“Dalam masa yang sama cerita upin ipin ini masih mengekalkan mesej utamanya iaitu untuk memberi mesej positif kepada penonton,” katanya kepada Astro Gempak.


Filem ini diarahkan oleh Erma Fatima dan Ainon Ariff menampilkan Puteri Balqis sebagai watak utama selain Upin Ipin, Awie, Sara Ali dan Remy Ishak. – Kedahnews.com