Tanah Runtuh Di Bera: 2 Orang Asli Maut, 2 Lagi Cedera


BERA – Dua Orang Asli maut termasuk kanak-kanak perempuan manakala dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan Hutan Matau Gelanggi 5 dan 6 dekat Jerantut malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata mangsa yang maut merupakan seorang wanita yang dikenali sebagai Ani, 27, dan anak saudaranya Mila, 9, manakala yang mengalami kecederaan pula dikenali Pati, 12, dan Ita, 12.

Azid berkata empat mangsa itu telah masuk ke kawasan hutan untuk mencari damar pada 8.30 pagi kelmarin dan pada 9.20 malam semalam Pati pulang ke rumah dalam keadaan cedera memaklumkan kepada penduduk kampung Orang Asli berhubung kejadian itu.

“Polis menerima laporan polis mengenai kejadian ini pada 3 pagi tadi daripada pengadu bernama Hassan a/l Bakar. Berdasarkan laporan ini lebih kurang 9.30 malam pengadu bersama orang kampung Asli telah masuk ke tempat kejadian untuk mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa.

“Hasil daripada pencarian tersebut mereka telah berjaya menjumpai Ita dalam keadaan cedera manakala Mila telah meninggal dunia. Jarak masa perjalanan dari rumah mangsa ini ke tempat kejadian lebih kurang 45 minit dengan berjalan kaki,” katanya kepada Bernama semalam.

Azid berkata Ani dan Pati merupakan adik kepada Hassan manakala Mila adalah anak kepada Hassan manakala Ita pula anak kepada Ani.

Beliau berkata mayat Ani pula berjaya ditemui pasukan penyelamat pada 1.40 tengah hari tadi dalam sungai dengan tersangkut pada pokok kayu di tepi sungai.

Azid berkata 27 anggota penyelamat termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam memulakan gerakan mencari dan menyelamat mangsa pada 9 pagi semalam. – BERNAMA