Tiket Kekal Pada Harga RM10 Wajar Diberi Pujian - Belia Darulaman


ALOR SETAR - Langkah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengekalkan harga tiket RM10 bagi tempat duduk terbuka tidak berbumbung di Stadium Darul Aman wajar diberi pujian ekoran ia merupakan tempat paling ramai menempatkan penyokong pasukan Hijau Kuning.

Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, bahagian berkenaan merangkumi 70 peratus penonton di stadium keramat Jelapang Padi itu dan antara harga paling rendah berbanding kadar tiket stadium di negeri lain.

"Keputusan kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengekalkan harga tiket RM10 bagi kawasan tidak berbumbung amat dihargai kerana ia merupakan kawasan yang menempatkan ramai penyokong skuad Helang Merah.

"Dengan kapasiti yang boleh memuatkan sehingga 30,000 penonton, kawasan tidak berbumbung adalah 70 peratus daripada keseluruhan kawasan penonton. Kadar RM10 itu adalah yang amat rendah berbanding kadar di stadium negeri lain," katanya dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.


Namun begitu, Syed Mohd Johan Rizal menggesa supaya KFA turut memberi perhatian kepada aspek sistem penjualan tiket, keselamatan dan tempat duduk ekoran berlaku sedikit kenaikan harga tiket di bahagian tempat duduk berbumbung dan astaka utama.

Jelasnya, saranan tersebut adalah bertepatan dengan usaha menaiktaraf stadium yang menelan belanja sebanyak RM10 juta dan peningkatan kos biaya pasukan Helang Merah yang menelan belanja hampir RM28 juta untuk 2017 berbanding RM23 juta musim 2016.

"Dalam aspek agihan tiket, KFA perlu memastikan sistem jualan tiket dikemaskini, agihan tidak menimbulkan rungutan peminat selain pelbagai daya tarikan dan kemudahan terkini disediakan untuk keselesaan penonton.

"Kita juga mengharapkan aspek keselamatan turut ditingkatkan selain beberapa asas kemudahan lain seperti surau yang lebih luas dan tambahan van solat bergerak dan laluan khas bagi peminat wanita dan OKU serta kanak kanak," kata beliau memberi cadangan.


Kelab Belia Darulaman turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang meneruskan tradisi tiket percuma bagi perlawanan pertama Liga Super di Stadium Darul Aman untuk musim 2017 ekoran kejayaan skuad Hijau Kuning itu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri Kedah.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar semalam mengesahkan 90 peratus pemain Helang Merah kekal bermain untuk Kedah pada musim 2017, termasuk Rizal Ghazali, Liridon Krasniqi, Sandro Mendonca, Badrol Bakhthiar dan Syazwan Zainon.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, beliau yakin bahawa pengekalan barisan pemain Kedah itu turut mengekalkan persefahaman di dalam pasukan dan Kedah dilihat sangat berpontesi untuk memberi saingan sengit untuk menjuarai piala lain, selain beraksi di AFC pada musim depan. -Kedahnews.com