PENELITIAN di media sosial kebelakangan ini amat membimbangkan. Komen-komen dan pendapat fahaman liberalisme ekstrem tersebar luas dalam facebook, twitter, blog, laman sesawang dan sebagainya.
Lebih memeranjatkan, segelintir tokoh beragama Islam turut menyatakan pandangan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini.
Hari ini, fahaman liberal ekstrem seolah-olah mutlak, bercakap tentang ‘freedom of press’ dan ‘freedom of speech’ berlandaskan idea kebebasan tanpa batasan akhlak, sempadan undang-undang dan peraturan.
Mereka menyuarakan persamaan agama, hak lelaki dan wanita di samping mempromosikan demokrasi dan kebebasan. Pandangan sebegini merupakan fitnah kepada agama Islam.
Pengguna media sosial kebanyakannya generasi muda perlu diberi kesedaran untuk bertanggungjawab menerima, menilai serta perlu tabayyun memeriksa kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.
ANTARA PANDANGAN LIBERAL EKSTREM DI MEDIA SOSIAL:
i. Meragui al-Quran dan Sunah:
Seorang penulis yang dikenali memuat naik status dalam akaun facebook:
“Islam yang saya percaya membebaskan manusia untuk memilih apa jua kepercayaan yang ingin dianuti, al-Quran sendiri memesan bahawa (mafhum) jika Allah mahu seluruh penduduk di langit dan di bumi beriman, siapakah yang mahu menghalangnya? Tetapi Allah telah memberikan pilihan (free choice, bukan free will) kepada manusia itu sendiri, sama ada untuk menjadi kafir atau beriman, memilih untuk syurga atau neraka”.
Terdapat pandangan daripada penulis lain yang menyatakan perlu penilaian semula terhadap hadis, ia bercanggah dengan sains, sejarah dan akal malahan mempertikaikan hadis-hadis yang diriyawatkan oleh para sahabat.
ii. Mempersoalkan akidah:
Terdapat status twitter :
“Aku pun tak faham kenapa orang kita nak bising sangat perihal Melayu yang nak murtad, aku tak cakap pasal kebebasan tengah hari buta ini. Bagi aku syurga bukan untuk Melayu sahaja, kalau Melayu nak masuk neraka sangat buat apa kita nak halang? Kalau semua orang nak masuk syurga, neraka nanti nak bakar siapa? Rugi sahaja Allah cipta neraka, tapi tak ada apa-apa untuk dibakar.”
iii. Pandangan mengelirukan:
Beberapa status mengelirukan di twitter antaranya:
“Berkenaan babi, siapa yang cipta babi? Tuhan atau manusia? Kau yang ciptakan, pastu kau haramkan, orang dekati apa yang kau ciptakan.”
“Berkenaan seks bebas pula, yang menciptakan rangsangan-rangsangan semua ini Tuhan juga. Kalau tak nak orang buat seks bebas tak payahlah cipta manusia. Nak buat apa?”
“Saya tidak kisah pemimpin saya LGBT, tak ada agama atau sosial, yang penting, dia jaga rakyat dan negara serta tidak salahguna kuasa.”
“Dah tidak wajib solat jumaat zaman ini kiranya kita berimamkan imam yang reda dan kagum dengan kezaliman pemerintah.”
iv. Pandangan tidak patuh syariah :
- Sebuah kumpulan yang memperjuangkan isu hak asasi wanita mengeluarkan pandangan: “Faith by compulsion may lead to hypocrisy” dan “Islam is not a one way street.”
v. Mempersoal institusi ulama:
- Terdapat pandangan: “Ulama sebagai para saintis seperti yang ditakrifkan dalam al-Quran dan sebagai satu kasta paderi.”
vi. Mencanangkan isu-isu bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini antaranya:
- Mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
- Kesalahan khalwat dimansuhkan kerana (menurut mereka) melanggar hak privasi individu, malahan (menurut mereka) perbuatan khalwat di rumah persendirian merupakan dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah SWT kecuali jika dilakukan di kawasan awam.
- Menggesa penubuhan jawatankuasa perunding untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.
‘Everybody writes’ (semua orang menulis), bukan bererti ‘everybody is right’ (semua orang betul). Kemampuan tabayyun dengan informasi akan menentukan kekuatan dan keabsahan ummah dalam era digital yang serba mencabar.
Pandangan sebegini adalah tidak seimbang dan tidak wasatiyyah. Masyarakat disogok dengan fitnah yang tiada penghujung. Kesucian agama dipersendakan. Jangan kerana berada dalam zon selesa, masyarakat terlalu taksub dengan indeks ‘World Press Freedom’ sehingga menjual kelangsungan dan survival ummah.
Jangan terlalu bersangka baik kepada ‘newsrooms’ di London, New York, Hong Kong atau mana sahaja menjana berita mempunyai agenda tersirat.
Umat Islam perlu mempunyai kudrat tabayyun luar biasa dalam persimpangan ‘information age’ ini. Jika prinsip ini ditinggalkan, akan bertebaranlah fitnah yang mampu mempengaruhi fikrah dan pemikiran majoriti umat Islam, lalu dianggap sebagai benar dan sahih.
Perlu diakui, bukan mudah untuk membadai arus ketika keadaan langit sudah serba terbuka. Media sosial terbina dengan sokongan penggunanya. Ideologi dan segala macam nilai sama ada positif atau negatif terus dilambakkan. Keimanan, akal, budi, akhlak dan sahsiah diri diuji sepenuhnya.
Pengamal media, tentera siber dan masyarakat Islam seluruhnya perlu menerima fiqh tabayyun sebagai model kepada penghayatan media yang positif dan bertanggungjawab. Jangan hanya ‘menang sorak’ di alam maya, tetapi menggadai prinsip kebenaran atas nama keterbukaan dan kepentingan peribadi sekumpulan kecil.
Statistik ini sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik.
Semua pihak perlu menggerakkan fiqh tabayyun sebagai disiplin ilmu dalam berurusan dengan fakta dan kebenaran. Inilah penggerak utama manhaj wasatiyyah dalam mengajak masyarakat berhati-hati dan berteliti dengan media sosial.
Sumber: Utusan