Tuanku Abdul Halim Akan Sentiasa Dalam Ingatan Rakyat

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Dataran Parlimen, Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR - Tempoh lima tahun pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah meninggalkan pelbagai memori kepada rakyat.

Sikap baginda berdua yang sentiasa prihatin membekaskan rasa sayang di hati rakyat pelbagai kaum di negara ini sehingga sanggup hadir di Jalan Parlimen bagi menzahirkan perasaan mereka.

Mereka sanggup datang seawal 7 pagi tadi untuk mengucapkan selamat jalan kepada pasangan diraja yang berangkat balik ke Kedah selepas menamatkan penggal pemerintahan, Isnin.

Kakitangan kerajaan, Noor Azizan Abd Rahman, 57, menyifatkan Malaysia  memiliki pemimpin berdedikasi dalam mengetuai tampuk pemerintahan negara.

Noor Azizan berkata baginda merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa berusaha memastikan institusi diraja memainkan peranan dalam membela nasib rakyat serta soal pembangunan negara.

"Saya masih ingat titah baginda sempena ulang tahun ke-88 keputeraannya di Istana Anak Bukit (Kedah) di mana antara intipatinya ialah menyeru anggota kerajaan (negeri) terus mencari jalan meringankan beban rakyat dengan peningkatan kos sara hidup.

"Secara peribadi, saya amat menyanjung tinggi keprihatinan baginda serta bangga kerana mempunyai seorang pemimpin yang cukup berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawabnya," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Kenderaan Diraja yang dinaiki Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah melintasi lambaian kasih rakyat jelata yang memberi penghormatan di Jalan Parlimen, Isnin. -foto; BERNAMA
Seorang guru, R. Parameswary, 45, pula menyifatkan Tuanku Abdul Halim sebagai berilmu, lemah lembut, merendah diri, namun pada masa sama mengambil berat kebajikan rakyat.

"Seluruh negara menjadi saksi bagaimana baginda tanpa penat lelah memerintah negara dengan penuh gemilang disulami rasa sayang kepada rakyatnya," katanya sambil mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda berdua.

Selain itu, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Wen, Aily Cheong, 11, amat teruja dapat menjadi antara peserta yang terlibat dalam acara bersejarah seperti itu.

"Saya rasa sangat bertuah sebab buat pertama kalinya dapat bertemu dengan baginda dan sempat melambaikan tangan kepadanya," katanya.

Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila menjadi sultan pertama yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, iaitu sebagai  Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 September 1970 sehingga 20 September 1975 dan kali kedua pada 13 Disember 2011 hingga 12 Disember ini.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. - Bernama