KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang bersifat raja berjiwa rakyat di Malaysia, turut memiliki kelebihan dan keistimewaan di peringkat antarabangsa.
Sebagai Ketua Negara Malaysia, baginda telah berjaya mempertingkat dan mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara luar melalui acara lawatan negara ke negara-negara asing dan sebagai tuan rumah menerima kunjungan ketua-ketua negara dunia.
Antara lainnya Tuanku Abdul Halim telah menerima undangan khas Maharaja Jepun untuk melawat ke negara matahari terbit itu sebagai tanda persahabatan erat kedua-dua pemimpin ulung itu, yang terjalin sekian lama.
Baginda turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat.
PENGHORMATAN MAHARAJA JEPUN
Persahabatan Tuanku Abdul Halim dengan Maharaja Akihito dan Maharani Michiko terjalin sejak 1970 lagi.
Lawatan Maharaja Akihito ke Malaysia pada waktu itu sebagai Putera Mahkota Jepun sementara Tuanku Abdul Halim memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Mereka juga bertemu dalam dua siri lawatan Maharaja Akihito dan Maharani Michiko ke Malaysia pada tahun 1991 dan 2006.
Baginda berdua bertemu lagi sewaktu sama-sama menghadiri sambutan Jubli Intan Ratu Elizabeth di London pada 2012.
Kemudian sebaik menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua pada 13 Disember 2011, baginda dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah diundang berkunjung ke Jepun pada Oktober 2012.
Di sana, baginda dan Raja Permaisuri Agong diberikan sambutan penuh istiadat dan diraikan dengan majlis santapan diraja di Kamar Bambu (Take-no-Ma) di Istana Maharaja Jepun itu.
Ada juga persamaan dalam ciri-ciri unik antara kedua-dua Ketua Negara Malaysia dan Ketua Negara Jepun itu apabila pada tahun 2015 Tuanku Abdul Halim dan Maharaja Akihito, sama-sama disenaraikan oleh akhbar ‘The Guardian’ sebagai antara 10 pemerintah monarki yang terpanjang tempoh pemerintahannya di dunia.
PANDANG KE TIMUR
Sebagai pemerintah yang berpandangan jauh, Tuanku Abdul Halim bertitah bahawa dasar ‘Pandang ke Timur’ memainkan peranan penting dalam mencetus program pertukaran budaya yang berjaya mewujudkan jalinan persahabatan, persefahaman serta perpaduan teguh dalam kalangan belia kedua-dua negara.
“Beta yakin bahawa jalinan persahabatan antara generasi muda ini akan memastikan hubungan harmoni antara kedua-dua negara pada masa hadapan,” titah baginda dalam lawatannya ke Jepun.
Kenderaan rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong sepanjang lawatan lima hari baginda ke Negara Matahari Terbit keluaran Syarikat Toyota (Toyota Century Royal) |
Tuanku Abdul Halim turut bertitah bahawa pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kedudukan Jepun yang tersohor dalam kalangan komuniti antarabangsa akan terus menjadi inspirasi kepada Malaysia.
Untuk itu baginda mengingatkan semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Jepun supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia dalam apa jua perkara yang dilakukan sepanjang berada di negara itu dan sentiasa menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan.
Baginda turut bertitah menyatakan rasa bangga dengan kebolehan rakyat Malaysia yang bermastautin di Jepun, yang terdiri daripada kalangan yang mempunyai kepakaran bernilai, pengusaha syarikat, pekerja sektor kerajaan dan swasta serta pelajar dalam membantu menaikkan imej Malaysia di mata dunia.
HUBUNGAN DENGAN CHINA
Dua kali menjadi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim turut menyaksikan tiga pertemuan bersejarah antara pemimpin Malaysia dengan China.
Semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima, baginda menyaksikan pertemuan sulung antara Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein dengan Pengerusi Mao Zedong pada pertengahan tahun 1974, yang memulakan hubungan diplomatik Malaysia-China.
Pada Oktober 2013 pula, Presiden China Xi Jinping melakukan lawatan negara ke Malaysia telah mengunjungi Tuanku Abdul Halim, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Terdahulu pada bulan Mac tahun yang sama, baginda berkenan menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China, Jia Qinglin.
Hampir setahun kemudian, baginda pula membuat lawatan negara ke Beijing pada September 2014 di mana baginda diberi sambutan rasmi oleh Presiden Xi dan isteri, Peng Liyuan.
Pada kedua-dua pertemuan itu baginda dengan konsisten menyatakan keyakinan terhadap perkembangan baik hubungan dua hala Malaysia-China yang membawa faedah kepada kedua-dua negara dan rantau Asia secara amnya.
Secara kebetulan pula, Perdana Menteri Malaysia sewaktu kedua-dua siri kunjungan ini adalah Datuk Seri Najib Tun Razak, anak kepada Tun Abdul Razak.
KUNJUNGAN BERSEJARAH OBAMA
Tuanku Abdul Halim turut mempunyai peranan tersendiri pada kedua-dua siri lawatan bersejarah pempimpin Amerika Syarikat ke Malaysia.
Baginda menyandang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika kunjungan pertama seorang Presiden Amerika Syarikat iaitu Lyndon B. Johnson pada 1966.
Pada April 2014 baginda menerima kunjungan oleh Presiden Barack Obama pula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, ketika Presiden Amerika Syarikat itu mengadakan lawatan negara ke Malaysia.
Presiden Obama dalam ucapannya pada jamuan negara di Istana Negara pada ketika itu telah mengulangi kekaguman Presiden Johnson terhadap Malaysia dalam ucapan beliau di Istana Negara.
“Betapa kagumnya beliau (Johnson) tentang kesegaran dan minat luar biasa pada wajah rakyat di sini dan saya juga begitu ingin melihat semangat ‘boleh’ yang sama,” ucap Obama.
Pada majlis sama Tuanku Abdul Halim menyampaikan ucapan terima kasih kepada Obama atas penglibatan beliau dalam misi pencarian pesawat MH370 sambil menyifatkan ia sebagai bukti hubungan kukuh antara kedua-dua negara.
Baginda turut bertitah Malaysia akan terus berusaha memupuk hubungan kukuh dan berkekalan dengan Amerika Syarikat sebagai asas dalam usaha mewujudkan kestabilan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara.
NEGARA LAIN
Sepanjang lima tahun pemerintahan Tuanku Abdul Halim, baginda telah menerima kunjungan hormat daripada pelbagai negara antaranya United Kingdom, Indonesia, Myanmar, Tajikistan, Thailand, Brunei, Filipina, Swaziland, Kazakhstan, Republik Chech dan Bahrain.
Baginda juga meneruskan tradisi mengukuhkan hubungan negara dengan negara-negara anggota ASEAN melalui lawatan negara ke Brunei, Myanmar, Vietnam dan Singapura.
Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Raja-raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-226 pada 14 Oktober 2011 menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan raja-raja Melayu untuk tempoh lima tahun.
Sistem ini adalah satu-satunya sistem seumpama itu yang diamalkan di dunia. – BERNAMA