Tubuh Grup WhatsApp Untuk Galak Suami Poligami


RIYADH – Satu grup WhatsApp diwujudkan di Arab Saudi bagi menggalakkan poligami sekali gus mengatasi masalah peningkatan bilangan janda bercerai, balu kematian suami dan wanita bujang.

Kelompok tersebut ditubuhkan oleh sekumpulan lapan pegawai pejabat pendaftaran perkahwinan di Arab Saudi, menurut akhbar berpengaruh Saudi Gazette yang dipetik pelbagai agensi berita antarabangsa di sini, baru-baru ini.

Akhbar tersebut bagaimanapun tidak memberikan nama para pegawai terlibat namun ia melaporkan mereka telah berjaya menubuhkan satu kumpulan khas menerusi aplikasi mudah alih berkenaan di bawah nama “poligami”.

Menurut Saudi Gazette, ahli kumpulan itu menyebarkan mesej-mesej WhatsApp yang menyeru ramai pemuda di negara itu supaya mengambil lebih daripada seorang isteri sekali gus menggalakkan poligami dalam kalangan lelaki.

Keadaan itu kata mereka, demi mengurangkan bilangan wanita tempatan yang masih tidak berpunya. Mereka sudah mengumpul data sekitar 900 wanita yang terdiri daripada janda diceraikan, balu kematian suami dan wanita dara.

Kumpulan WhatsApp tersebut malahan mendakwa sudah berjaya mengumpul cukup data mengenai wanita yang tidak kisah untuk mereka bakal dijadikan sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat mana-mana suami orang.

Senarai calon berkenaan selain terdiri daripada kalangan wanita Arab Saudi, ia juga bahkan meliputi wanita dari Yaman, Maghribi, Syria, Palestin, Mesir, Nigeria, Bangladesh, China, Pakistan dan banyak lagi negara asing.

Paling menarik, calon memberi maklumat lengkap agar pegawai perkahwinan dapat menghubungi mereka setiap kali ada jejaka berminat untuk bernikah, meskipun hanya memberikan kerakyatan dan nama etnik mereka.


Laporan Saudi Gazette itu menyatakan bahawa ratusan wanita yang berusia antara 18 hingga 55 tahun, setinggi 140 hingga 177 sentimeter dan seberat 45 hingga 98 kilogram – sesuai untuk pelbagai cita rasa kepada suami orang.

Tahap pendidikan wanita berkenaan juga bukan calang-calang latar belakang – ada calon yang didapati mempunyai peringkat pengajian ijazah sarjana muda, sarjana lanjutan, kedoktoran falsasah dan ada pula pensyarah universiti.

Bahkan, berita baik untuk lelaki Arab Saudi – para pegawai perkahwinan tersebut berkata mereka bersedia untuk membantu dalam mencarikan mereka jodoh tanpa dikenakan sebarang bayaran perkhidmatan tambahan.

Bagaimanapun, sesetengah wanita mengenakan syarat yang mungkin sukar dipenuhi di mana ada yang meminta hantaran sehingga 60,000 riyal Saudi (kira-kira RM71,000) dan ada pula mahu suami yang hafal Al-Quran 30 juzuk. – Agensi