Tukar PM Tindakan Sia-Sia, Lebih Baik Tukar Dasar - PAS


ALOR SETAR - PAS menegaskan bahawa gerakan untuk menukar Perdana Menteri tidak akan membawa sebarang perubahan kepada negara, sebaliknya agenda mengubah dasar kepimpinan negara adalah lebih baik dan praktikal.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha menjatuhkan Perdana Menteri terbukti sia-sia kerana dasar negara masih tidak berubah halanya.

"Sudah berapa kali percubaan rakyat Malaysia menukar Perdana Menteri. Perdana Menteri berubah tetapi dasarnya tidak berubah.

"Hari ini bekas PM menentang PM untuk berjuang menukar PM. Bukan untuk menukar dasar PM. Bekas PM tetap merasakan dasar pemerintahannya dulu adalah baik dan lebih baik daripada PM sekarang.

"Dulunya rakyat membencinya lalu berjuang menukarnya dengan PM baru. Bekas PM kemudiannya berkempen menukar PM lalu berjaya.

"Hari ini diperjuangkan lagi penukaran PM. Sedangkan hakikatnya dasar PM hari ini adalah kesinambungan dasar PM sebelumnya yang melahirkan negara yang si kaya menjadi perasuah dan si pemimpin penerima rasuah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Justeru itu Dr Mohd Khairuddin menegaskan bahawa tindakan Pakatan Harapan yang mahu menukar Perdana Menteri tidak membawa sebarang perubahan berbanding perjuangan PAS yang mahu mengubah dasar kepimpinan negara yang bukan bersifat individu.

"DAP dan PKR tidak adalah masalah dengan dasar bernegara hari ini. Oleh kerana itu mereka bersetuju hanya untuk menukar PM. Dicanangkan Save Malaysia iaitu kabinet baru kerajaan antara Ahli Parlimen BN dan Pakatan Pembangkang tanpa Najib. Hanya tanpa Najib!

"Islam hadir untuk mengubah dasar yang diimani oleh manusia bukan hanya menukar manusia. Dasar kepimpinan perlu diubah. Pemimpin perlu memimpin berdasarkan Islam pada konsep pentadbirannya, pengurusan ekonomi dan kewangannya," tegas beliau.

PAS sebelum ini menegaskan perubahan di dalam parti mereka kini yang berkonsepkan politik matang dan sejahtera telah menolak gerakan menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dari jawatan Perdana Menteri.

Parti itu lebih memilih untuk menggunakan pendekatan yang lebih baik dengan cuba merubah dasar kepimpinan negara supaya lebih mengikut acuan pentadbiran Islam.

Walau bagaimanapun, konsep dan pendekatan PAS tersebut tidak disenangi oleh Pakatan Harapan dan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikatakan semata-mata mahu menjatuhkan Mohd Najib dan digantikan dengan Perdana Menteri pilihan mereka.

Namun begitu, berlaku konflik di kalangan pembangkang apabila Pakatan Harapan bertegas mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai calon Perdana Menteri mereka berbanding calon pilihan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan bahawa gabungang parti-parti pembangkang itu masih gagal memutuskan calon Perdana Menteri mereka hingga kini. -Kedahnews.com