Turki Gempar 1 Lagi Letupan Lepas Selang Seminggu Serangan


ISTANBUL – Turki digegarkan dengan satu lagi letupan bom.

Seramai 13 orang askar mati dan lagi 48 cedera apabila sebuah kereta yang sarat dengan bom meletup di bandar Kayseri, di bahagian tengah Turki.

Bom meletup berhampiran sebuah bas yang membawa para pegawai tentera.

Sejauh ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Letupan hari ini berlaku selang seminggu selepas pengeboman berkembar yang disasarkan terhadap anggota polis di sebuah stadium Istanbul.

Serangan tersebut meragut nyawa 44 orang dan mencederakan lebih 150 yang lain.

Militan Parti Pekerja Kurdistan mengaku menjadi dalangnya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Turki dilanda satu siri serangan yang dipercayai perbuatan militan Kurdistan atau pemberontak ISIS. – Agensi