Umat Islam Di Malaysia Berpecah Belah Angkara Politik


PERPECAHAN umat semakin ketara akibat perbezaan fahaman politik dan disebabkan perbezaan itu hubungan sesama insan semakin renggang hingga memberi kesan terhadap kehidupan bermasyarakat secara keseluruhan.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana politik hanyalah salah satu wadah dalam kehidupan yang sepatutnya menjurus ke arah perpaduan. Selain politik, banyak lagi bidang lain seperti agama, ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya yang turut berperanan menyatukan umat.

Apa pun secara realitinya, apabila berlaku pertelagahan di peringkat kepemimpinan disebabkan masing-masing mementingkan diri sendiri, ahli di peringkat bawahan akan turut terpengaruh. 

Akibatnya, perkembangan teknologi maklumat yang sepatutnya dapat merapatkan lagi hubungan selain memajukan bidang ekonomi, politik dan pendidikan kini disalahgunakan untuk memfitnah serta menjatuhkan pihak lawan.

Semuanya ini berpunca daripada berlainan fahaman politik. Inilah keadaan yang sedang berlaku. Namun saya percaya jika ditanya secara lebih tulus dan ikhlas tentang ciri-ciri masyarakat yang diidam-idamkan sudah pasti setiap rakyat negara ini mengimpikan masyarakat yang bersatu padu, saling bekerjasama, bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan menolak kerosakan kepada negara walaupun berbeza fahaman politik.

Sesungguhnya penyatuan umat demi kebaikan adalah satu ibadah yang amat dituntut. Rasulullah SAW dalam banyak hadis baginda sering menekankan kepentingan perpaduan umat. Sehubungan itu, sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat terutama umat Islam bangkit dan meletakkan agenda perpaduan ini sebagai satu agenda paling utama.

Pada masa sama budaya bertelagah, caci-mencaci, fitnah-memfitnah, sikap mementingkan diri sendiri dan mengakui pendapat sendiri sahaja yang betul hendaklah segera ditinggalkan. Ini bagi membolehkan seruan ibadah (perpaduan) seperti yang dituntut oleh syariat Islam dapat laksanakan dengan sempurna.

Saya juga ingin mengesyorkan ceramah, kuliah mahupun tazkirah agama yang diadakan terutama di surau dan masjid janganlah ada yang berniat untuk memecahbelahkan masyarakat dengan memasukkan unsur-unsur politik.

Biarlah majlis penyampaian ilmu yang diadakan itu sarat dengan ilmu agama, nasihat dan bimbingan yang baik dengan bermatlamatkan ke arah menyatupadukan umat. Kita perlu sedar tidak semua jemaah mempunyai pendirian politik yang sama.

Jika ada kata-mengata, kutuk-mengutuk, caci-mencaci kepada pihak tertentu sudah pasti ada jemaah yang terguris hati kerana tidak boleh menerima kutukan atau cacian yang dilemparkan dalam majlis berkenaan.

Sekiranya perkara itu dibiarkan berlarutan tidak mustahil boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di peringkat surat atau masjid terlibat. Mahu tidak mahu dalam usaha menyatupadukan ummah para penceramah mahu pun ustaz yang mengajar sewajarnya memainkan peranan penting.

Maksud saya dalam siri kuliah yang dikendalikan, mereka boleh menjadikan ruang itu sebagai penggalak kepada perpaduan umat. Selain mereka golongan penulis, pendidik serta pendakwah turut berperanan ke arah ini.

Kehidupan yang disemai dengan silaturahim atau ikatan persaudaraan ibarat satu bangunan yang kuat dan ampuh. Persaudaraan itu umpama benang halus yang menyatupadukan umat sama ada dalam keadaan senang atau sengsara.

Seperkara lagi dalam kita menumpukan usaha-usaha menyatukan umat, godaan syaitan tidak boleh sesekali dipandang mudah. Godaan ini datang dalam bentuk melakukan sifat-sifat keji seperti hasad dengki. Kita perlu sedar syaitan tidak akan senang apabila melihat umat Islam berpadu. Kita perlu bersedia menghadapinya.

Sememangnya sifat dengki, iri hati, dendam, marah dan permusuhan yang akhirnya boleh membawa perpecahan ummah perlu dihindarkan kerana semua sifat buruk ini boleh merosakkan hubungan baik dalam kehidupan masyarakat.

Memetik kata-kata Bung Hatta yang mengatakan:“Aku putera bangsa yang sentiasa bersatu padu, tidak akan berpisah dalam bahaya mahupun sengsara.”

Oleh itu, berfikirlah ke arah usaha untuk menyatupadukan umat. Yang pasti, langkah ini wajar dilakukan oleh semua ahli masyarakat terutama mereka yang bergelar pemimpin.

Sumber: DR. AMINUDIN MANSOR, Universiti Kebangsaan Malaysia/Utusan