Ummi Bertunang Dengan Doktor Lepas Terima Restu Ibu


Secara "diam-diam" rupanya pelakon, Ummi Nazeera sudah selamat melangsungkan pertunangannya dengan lelaki pilihan keluarga dalam sebuah majlis tertutup di kediaman keluarganya, petang kelmarin.

Jejaka yang bekerja sebagai doktor itu dikenali sebagai "Mr.I" difahamkan berusia 29 tahun berjaya memikat hati Ummi selepas diperkenalkan sendiri oleh ibu lelaki tersebut pada 29 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan, Ummi, 26, menjelaskan mereka tidak pernah bertemu atau bertentang mata sebelum ini dan hanya mengenali Mr.I pada 31 Januari lalu melalui aplikasi WhatsApp.

“Dia menghantar pesanan untuk berkenalan dan kami hanya berkomunikasi menerusi mesej tanpa bercakap atau mendengar suara masing-masing di talian telefon,” katanya.


Jelasnya, selepas lebih sebulan setengah perkenalan, jejaka tersebut menyatakan hasrat untuk bertemu.

Pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap ini tidak terus bersetuju sebaliknya meletakkan syarat kepada jejaka itu untuk bertemu dengan ibunya, Datuk Seri Maziah Musa terlebih dahulu sebelum berjumpa dengannya .

Kesungguhan dan keberanian Mr. I menyahut syarat tersebut telah menambat hati Ummi dan membuat kesimpulan bahawa lelaki itu mampu menjadi ketua keluarga kepadanya.

“Dalam hati saya, dia berjaya melepasi ujian pertama apabila bertemu dengan ibu saya dan atas dasar itu, saya menerima keikhlasan hatinya apatah lagi hubungan ini menerima restu daripada ibu saya. Itu yang paling penting dan bahagia buat saya,” jelasnya.

Ummi berkata, Mr.I melamarnya untuk meneruskan hubungan ke fasa seterusnya selepas tiga bulan mengenali hati budi masing-masing dan menghantar rombongan merisik dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

Pada majlis pertunangan yang berlangsung kira-kira jam 2.30 petang itu, pihak lelaki diwakili keluarganya menyerahkan lima dulang berbalas lima oleh pihak perempuan.

Pasangan tersebut bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun depan. –Kedahnews.com