KUALA LUMPUR – Penyanyi Nassier Wahab terkejut apabila menjadi perhatian peminat dari Malaysia yang ingin bergambar dengannya ketika mengerjakan ibadah Umrah di Mekah pada 6 sehingga 16 Disember lalu.
Nassier, 54, berkata, sepanjang tiga kali melakukan Umrah sebelum ini dia tidak pernah mengalami kejadian itu namun menganggap ia sebagai satu pengalaman manis ketika berada di kota suci itu.
“Ke mana sahaja saya pergi memang akan terserempak dengan rakyat Malaysia dan mereka akan meminta untuk bergambar dengan saya.
“Ada beberapa kejadian saya berada dalam masjid untuk solat sunat pun ada yang menegur dan bergambar,” katanya.
Nassier ditemui pada sidang media Showcase Nassier Wahab Celebrating 30 Years di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.
Persembahan istimewa itu bakal diadakan pada 1 Januari depan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada pukul 5 petang.
Dalam pada itu, Nassier berkata, walaupun sentiasa disapa peminat namun ia langsung tidak menggangu perjalanan ibadah namun ia dipermudahkan.
“Alhamdulillah perjalanan Umrah saya kali ini lancar dan dipermudahkan mungkin kerana salah satunya saya gembirakan orang-orang yang saya temui di sana.
“Mungkin menyapa dan mengambil gambar adalah kecil tetapi pada mereka besar ertinya.
“Saya juga sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan dan Alhamdulillah ia termakbul,” ujarnya.
Sementara itu, Nassier berkata, ketika berada di Masjidil Haram dia tidak menyangka dipertemukan dengan seorang peminat setianya yang sebelum ini hanya berhubung melalui WhatsApp.
“Sebelum ini peminat saya itu setiap hari akan menghantar kata-kata motivasi dan doa di WhatsApp saya tetapi kami tidak pernah bertemu.
“Bagaimanapun kuasa dan izin Allah kami bertemu dalam Masjidil Haram dan individu berkenaan cukup terkejut melihat saya dan menyifatkan doanya untuk bertemu saya dimakbulkan,” katanya.
Bercakap lanjut mengenai persembahan bersempena 30 tahun penglibatannya dalam bidang seni, Nassier berkata, dia memilih untuk mengadakan showcase berbanding konsert berskala besar kerana ingin meraikan peminat dalam suasana eksklusif.
Kata Nassier, Hard Rock Cafe dilihat sebagai lokasi sesuai kerana ia tidak terlalu besar mahupun kecil dan sesuai untuk tujuan itu.
“Sebagai permulaan biarlah saya buat secara kecil sahaja dahulu tambahan pula saya mahu berada dekat dengan peminat, rakan-rakan dan keluarga pada petang itu nanti.
“Insya-Allah kami ada juga perancangan adakan persembahan berskala besar dan menjelajah ke seluruh Malaysia.
“Bagi menyambut 30 tahun saya dalam industri, saya fikir Hard Rock Cafe sudah cukup sesuai dan paling penting peminat yang datang terhibur,” jelasnya.
Tambah Nassier lagi, dia terharu apabila peminat dari Singapura dan Brunei turut menyatakan keterujaan untuk hadir dan ia menambahkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik pada 1 Januari nanti.
“Showcase ini santai-santai sahaja kerana saya melihat ia sebagai acara pertemuan semula saya dengan peminat dari dalam negara termasuk Singapura, Brunei, rakan-rakan artis dan keluarga.
“Insya-Allah saya akan sampaikan 18 buah lagu terbaik saya menerusi tiga segmen pada persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.
“Malah saya akan luangkan masa bersama sesi bertemu peminat selepas persembahan selesai nanti,” katanya.
Tiket menyaksikan konsert berkenaan dijual pada harga RM300 (VVIP), RM200 (Platinum), RM150 (Gold), RM100 (Silver) dan RM80 (Bronze) dan ia boleh didapati di www.airasiaredtix.com atau Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
Konsert ini dianjurkan oleh Nassier Wahab Productions dan Melody United.
Sumber: mStar