VIDEO: Dihalau Dari Pesawat Hanya Kerana Berbahasa Arab


“KAMI dihalau keluar hanya kerana berbual menggunakan bahasa Arab di dalam pesawat!”

Demikian luah seorang lelaki yang dinafikan hak menggunakan perkhidmatan penerbangan Delta Airlines di Amerika Syarikat (AS) gara-gara menggunakan bahasa Arab di dalam pesawat.

Adam Saleh yang memiliki 1.6 juta pengikut di YouTube, telah diusir keluar daripada pesawat dijadualkan berlepas ke New York selepas seorang penumpang wanita berasa ‘kurang selesa’ dengan bahasa Arab yang dituturkannya.

Menurut Dailymail, Adam, 23, ketika di tempat duduknya, berbual melalui telefon bimbit dengan ibunya dan tidak menyedari seorang wanita kebetulan merenungnya seperti tidak berpuas hati.

Bagaimanapun tidak beberapa lama kemudian, seorang lelaki tiba bersama kapten pesawat Delta Airlines dan mengarahkannya segera meninggalkan pesawat itu.

“Namun saya kata saya bebas berbahasa apa sahaja yang disukai menyebabkan wanita itu mula menjerit sebelum kami dihampiri oleh kapten pesawat yang meminta keluar dari pesawat.

Bintang Internet itu kemudian merakam insiden tersebut dan memuat naik rakaman berdurasi satu minit 25 saat ke laman sosial dengan menyatakan rasa tidak puas hati ketika diminta keluar oleh pramugari syarikat berkenaan.

“Saya dihalau kerana cakap dalam bahasa lain selain Inggeris. Adakah ini tahun 2016? Terima kasih banyak, saya bukan penjenayah,” ujarnya di dalam video yang turut memaparkan aksi beberapa penumpang lain bersikap rasis terhadapnya.

Menurut Adam, sudah menjadi kebiasaan baginya untuk menghubungi ibu sebelum dia berlepas di dalam pesawat namun kali ini tindakannya itu telah mencetuskan insiden yang tidak dijangkakan sama sekali.

Ekoran insiden berkenaan, Adam dan rakannya telah disiasat polis namun tiada sebarang pendakwaan jenayah yang dikenakan terhadap mereka.

Dia kini mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Delta Airlines mengesahkan dua penumpangnya telah dikeluarkan dari pesawat susulan kes yang menyebabkan kononnya 20 penumpang pesawatnya yang lain berasa kurang selesa dengan insiden itu. – Kedahnews.com