Viral Pembatalan Kadar Baru Visa Arab Saudi Tidak Benar


PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa laporan mengenai pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi yang tersebar dalam media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah tidak benar.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar,  Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi telah menyemak perkara ini dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Disember lalu tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara itu.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baharu visa negara itu yang telah berkuat kuasa pada 1 Muharram lepas iaitu bersamaan 2 Oktober lalu.

"Oleh yang demikian, pihak media serta orang ramai dipohon agar tidak mudah percaya kepada maklumat-maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi kerajaan negara tersebut," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan baru-baru ini telah dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktruktur kadar visa baharu tersebut adalah untuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000.

Sumber: Utusan